Malaysia Piala FA Malaysia

Penyokong KL dan Selangor digalakkan menggunakan MRT ke Stadium Cheras

Pertembungan dua kelab Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Selangor dalam aksi suku akhir Piala FA pastinya akan menarik ramai penyokong. Pertembungan kedua-dua pasukan di awal musim ini melihat begitu ramai penyokong membanjiri Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Bermain di kotaraya yang mempunyai begitu banyak pengangkutan awam, sudah tiba masanya penyokong-penyokong turun ke stadium dengan menaiki kemudahan yang disediakan.

Oleh sebab itu, Prasarana dalam satu kenyataan di  laman Facebook rasmi mereka menggalakkan kedua-dua penyokong pasukan menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) untuk ke Stadium Cheras nanti.

Prasarana turut menyediakan bas perantara untuk penyokong kedua-dua pasukan yang mahu ke Stadium Cheras dengan menaiki bas perantara T400 dari Stesen MRT Cochrane.

“Bas perantara berkenaan mempunyai hentian khusus di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sekali gus menyediakan perjalanan selesa untuk para peminat tanpa perlu memandu dan mengharungi kesesakan lalu lintas serta kepayahan mencari tempat parkir kereta di stadium,” menurut kenyataan Rapid KL.

Selain di stesen MRT, bas perantara turut disediakan bagi penyokong yang menaiki LRT. Penyokong boleh turun di Stesen LRT Maluri dan menaiki bas perantara di stesen tersebut yang bersambung dengan stesen MRT Maluri.

Para penyokong boleh menaiki kereta dan menggunakan kemudahan Park n Ride di setiap stesen untuk menaiki MRT.

Namun, satu perkara yang mungkin boleh dipertimbang oleh pihak Prasarana adalah untuk melewatkan penutupan operasi stesen MRT pada hari perlawanan yang biasanya tamat sekitar jam 11 malam.