Malaysia

Mana hilangnya taring dan cakar Harimau Malaya?

Apa sudah jadi?

Selepas sekian lama menanti untuk kembali ke Stadium Nasional Bukit Jalil, akhirnya skuad Harimau Malaya dan para penyokong kembali memeriahkan Bukit Jalil.

Perlawanan pada mulanya disangka mudah dan boleh dilihat di raut wajah penyokong negara keterujaan dapat kembali ke stadium keramat mereka. Suasana pesta dan sorakan bergema di Bukit Jalil.

Panas yang disangka ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Malaysia terikat dengan pasukan di ranking ke 189 dunia. Menurut ketua jurulatih Mongolia, Michael Weiß, 80% pemain dalam skuadnya berusia di bawah 23 tahun.

Apa sudah jadi? Kalau dilihat perlawanan yang berlangsung semalam, Malaysia menguasai permainan dengan Mongolia pula bersedia membuat serangan balas pantas. Kesilapan di bahagian pertahanan dan kurangnya idea di bahagian serangan memakan diri Malaysia.

Apa taktik sebenar Malaysia? Kita seringkali menyerang di bahagian tepi dan membuat hantaran silang tinggi seakan-akan kita mempunyai Peter Crouch atau Jan Koller di bahagian serangan. Jika itu taktikal yang kita mahu gunakan, mungkin ada baiknya penyerang skuad bawah 23 tahun, N. Thanabalan digunakan kerana dia antara pemain yang hebat menanduk bola ke gawang.

Walaupun Mongolia dikatakan terdiri daripada pemain separa profesional, tetapi aksi dan stamina mereka semalam seakan-akan semuanya pemain profesional. Mereka mendominasi dari segi fizikal. Biarpun diasak dan hampir keseluruhan permainan Mongolia bertahan, tetapi setiap kali perlu menyerang balas, mereka cukup pantas. Lihat saja jaringan pertama mereka, mereka melakukan serangan balas dengan pantas dan seterusnya satu lob yang cukup cantik daripada Enkhbileg Purevdorj menewaskan Haziq Nadzli.

Satu sinar daripada perlawanan semalam adalah aksi bintang muda Kedah, Akhyar Rashid. Setiap kali dia membawa bola, pastinya penonton tahu sesuatu akan terjadi. Seorang pemain dengan keyakinan tinggi dan mampu membuatkan penyokong bangun. Satu nasihat penting buat Akhyar, cubalah nasib di luar negara. Jika ada menerima tawaran dari mana-mana pasukan dari luar negara, pergilah.

Apa seterusnya untuk Malaysia? Ini merupakan perlawanan pertama Tan Cheng Hoe, sama seperti ketika di Kedah, kita perlu memberikan dia masa. Tidak cukup kita menilai daripada satu perlawanan. Tapi mungkin seperti Mongolia, Tan Cheng Hoe boleh mula meletakkan keyakinan kepada lebih ramai pemain muda negara. Proses transisi pemain bawah 23 tahun ke skuad senior perlu bermula terutamanya jika kita mahu mensasarkan masa depan yang lebih gemilang untuk Harimau Malaya.