Pada Oktober 2017, selepas hampir satu tahun, Brendan pulang ke Malaysia dengan penuh keyakinan untuk mencari kelab baru, bagi saingan Liga Malaysia 2018. Pada waktu itu, Brendan masih belum cergas sepenuhnya dari segi kompetitif, namun selepas mengharungi hampir 12 bulan yang sukar, dia yakin mampu mencapai tahap yang dikehendaki. Tidak mengejutkan bahawa banyak pasukan Liga Super dan Liga Premier menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya, namun dia memilih untuk ke Ipoh dan menyertai skuad Perak The Bos Gaurus.
“Semuanya berlaku dengan pantas kerana sebelum itu, saya telah berbincang dengan beberapa pasukan dan mencapai persetujuan sama ada mereka mahukan saya atau tidak. Kemudian, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, menelefon saya dan bercakap tentang kemungkinan membawa saya ke Perak. Dia memberitahu saya tentang pasukan, tentang penyokong-penyokong dan keadaan di Ipoh. Tiga hari kemudian, saya menjadi seorang pemain Perak!
“Kenapa saya suka berada di sini? Apabila jurulatih dan seluruh pasukan mahukan saya menjadi sebahagian daripada keluarga mereka, perasaan tersebut tidak boleh dibeli dengan mudah. Di mana sahaja Mehmet pergi, pasukannya tampak bersatu. Dia menjadikan pemain-pemain bergantung antara satu sama lain untuk mencapai tahap terbaik. Sebab itu dia meraih banyak kejayaan.”
Walaupun Brendan sudah kembali beraksi secara rasmi, dia masih sedang perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan tempo sebuah perlawanan bolasepak. Dia tidak diturunkan dalam kesemua perlawanan Perak setakat ini, tetapi apabila diberi peluang bermain dan diturunkan, bekas pemain Sydney FC itu tampil dengan aksi yang cukup cemerlang. Tidak dapat dinafikan bahawa Brendan mengidamkan kejayaan bersama skuad Perak ini dan mahu membantu pasukan meraih piala. Tetapi buat masa sekarang, dia hanya mahu fokus untuk meningkatkan tahap kecergasannya.
“Saya tidak tahu sama ada wujud istilah untuk menerangkan emosi yang saya alami apabila kembali di atas padang bersama rakan sepasukan. Saya masih belum mempamerkan apa-apa pada musim ini tetapi saya berjanji untuk memberi komitment 100% di atas padang, dengan sokongan padu daripada penyokong.”
Kisah Brendan Gan mengungkit sebuah persoalan yang penting. Kenapa dia memilih untuk menempuhi segala cabaran ini. Brendan berusia 28 tahun ketika mengalami kecederaan ACL kedua dan dipaksa melalui proses pemulihan tanpa sebarang bantuan daripada pihak kelab dan skuad kebangsaan. Adakah segala kesakitan, kepayahan dan pengorbanan yang dilalui oleh Brendan benar-benar berbaloi?
“Dalam diri saya, tidak pernah sekali memikirkan untuk bersara lebih awal. Saya tahu saya mampu kembali dan naluri saya mengatakan bahawa saya perlu bertarung untuk kembali ke atas padang. Perasaan berada di atas padang yang dikelilingi oleh ribuan penyokong adalah sesuatu perkara yang sukar untuk dijelaskan tetapi ia adalah perkara yang saya idamkan sejak kecil lagi. Saya sanggup membuat apa sahaja untuk merasai perasan tersebut setiap minggu, tidak kira di peringkat saingan liga atau melibatkan pasukan kebangsaan.
“Lebih penting, saya tidak mahu membiarkan masalah kecederaan menjadi faktor yang menamatkan karier saya.. Saya mahu menamatkan karier saya dengan gaya dan penentuan saya sendiri. Kemahuan tersebut mendorong saya untuk menempuhi segala hari-hari yang sukar sepanjang dua tahun lepas,” tambah Brendan.
Semoga berjaya bersama Perak, Brendan! Anda merupakan sumber inspirasi yang cukup besar!