Kajian & Analisis Luar Negara

Bundesliga kini menjadi platform terbaik untuk pemain muda England

Walaupun Liga Perdana Inggeris (EPL) dikenali sebagai liga paling kompetitif dan meriah, wujud sebuah masalah yang sudah bertahun-tahun tidak dapat diselesaikan. Situasi yang dimaksudkan adalah keadaan pemain-pemain muda Inggeris yang terpaksa bergelut untuk membuktikan kehebatan di laman sendiri.

Tatkala persaingan dalam semua jenis kejuaraan di England tampak begitu hebat, kebanyakan pasukan Inggeris lebih gemar untuk membawa masuk pemain asing menggunakan dana yang besar untuk bersaing di peringkat tertinggi, namun ia telah mengehadkan penglibatan pemain-pemain muda di sana.

Berdasarkan statistik daripada CIES Football Observatory, tiga kelab utama England iaitu Arsenal, Manchester City serta Chelsea masing-masing memberikan ruang yang cukup terhad buat anak-anak muda di England untuk tampil beraksi, selepas kadar menunjukkan hanya 23 % pemain Inggeris yang beraksi buat Gunners, 17 % (City) dan 16 % (Chelsea).

Disebabkan itu, hampir setiap musim EPL gagal membuahkan bakat baru yang benar-benar digilap daripada saingan liga, kecuali nama-nama seperti Dele Alli, John Stones dan Harry Kane.

Ruang yang amat sempit buat mereka membuatkan kebanyakan pemain muda England kini mula mencuba nasib di luar EPL seperti Liga Kejuaraan, Liga Satu, Liga Dua atau lebih teruk lagi, mereka terpaksa berhijrah ke Liga Perdana Scotland untuk memantapkan diri sebelum cuba meraih tempat dalam liga utama Inggeris.

Bagaimanapun, terdapat tiga pemain belia England yang kini sedang menikmati permulaan karier yang baik di Jerman. Pemain-pemain tersebut adalah Ademola Lookman (RB Leipzig), Reece Oxford (Borussia Monchengladbach) serta Jadon Sancho (Borussia Dortmund).

Lookman dan Oxford beraksi di pentas Bundesliga atas tiket pinjaman dari Everton dan West Ham United, manakala Sancho melengkapkan perpindahan secara tetap dari City.

Ternyata, langkah berani itu memberi pulangan buat mereka apabila berjaya meraih tempat dalam skuad walaupun tidak dapat membarisi kesebelasan utama sepanjang masa dan pastinya, pengalaman yang tidak mungkin dapat diraih jika terus mengharapkan waktu bermain di England.

Malah, Sancho juga berpeluang untuk beraksi bersama-sama bintang besar dunia seperti Mario Gotze dan Marco Reus, jika dirinya tidak dihantui masalah kecederaan beberapa bulan lalu.

Tidak kira apa sebabnya sekalipun, senario yang berlaku di Jerman perlu dipandang serius oleh pihak EPL tatkala banyak bakat-bakat muda yang tidak boleh dipersiakan bagi pembangunan bola sepak di England.

Perlu diingat, beberapa faktor seperti berdekatan dengan keluarga mungkin boleh menjadi salah satu punca buat seseorang pemain untuk bermain pada tahap tertinggi dan terbaik. Jika Liga Perdana Inggeris mampu menjadi platform yang lebih selesa bagi pemain muda tempatan, mungkin skuad kebangsaan England akan mampu tambil dengan barisan pemain yang lebih bagus pada masa yang akan datang.