Luar Negara

Rasmi: Tarikh permulaan Liga 1 Indonesia 2018 telah ditetapkan

Setelah lama menunggu, akhirnya berakhir penantian peminat bolasepak di Indonesia. Pengelola Liga 1 Indonesia, PT Liga Indonesia Baru (LIB) sebelum ini membuatkan ramai tertunggu-tunggu apabila masih belum mengumumkan bila liga akan berjalan walaupun sudah tiga bulan memasuki tahun 2018.

Pada mulanya, dikhabarkan liga akan bermula pada 23 Februari 2018, tetapi kerana LIB masih belum melangsaikan hutang subsidi kepada kelab-kelab yang bertanding di Liga 1 pada musim lalu, jadual dianjak ke 3 Mac sebelum dianjak lagi ke 10 Mac. Namun, selepas itu jadual kick off liga berubah lagi dengan alasan mahu melindungi kelab-kelab yang bertanding dari kerugian. Ramai peminat bolasepak Indonesia mula pening dengan perubahan tarikh ini.

Seperti mentari yang muncul selepas hujan, Selasa lalu LIB telah mengumumkan bahawa mereka telah menjelaskan bayaran subsidi kepada semua pasukan yang bertanding musim lalu. Isu kewangan bernilai 38 miliar rupiah (RM 284 juta) sudah berjaya diatasi.

Sehari sebelum berita tersebut, pihak LIB juga memberitahu bahawa pada 8 Mac, mereka akan mengadakan mesyuarat bersama pemegang saham (RUPS). Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) turut hadir dalam mesyuarat tersebut. Dalam mesyuarat tersebut, turut dibincangkan mengenai tarikh Liga 1 yang sudah dianjak beberapa kali.

Akhirnya penantian peminat bolasepak di Indonesia berakhir. Menerusi laman twitter rasmi Persebaya Surabaya, diumumkan bahawa kick-off Liga 1 akan bermula pada 23 Mac 2018. Perlawanan pertama yang akan berlangsung adalah di antara juara bertahan Bhayangkara FC menentang Persija Jakarta. Menurut tweet daripada wartawan Bola.com, Erwin Fitriansyah, perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

Sebelum ini PSSI sudah memberikan beberapa tarikh sebagai pilihan kepada LIB untuk memulakan liga. Antaranya adalah 18,23 atau 24 Mac. Jika liga bermula pada 18 Mac, ianya akan berakhir pada bulan Oktober dan berjalan selama 24 minggu. Perancangan ini dilakukan dengan mengambil kira kejohanan Piala AFF Suzuki 2018, jadi tempoh liga yang biasanya berjalan selama 34 minggu telah dipendekkan.