Malaysia Liga Super Malaysia

Kami tidak takut dengan JDT, kata ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti

Ketua jurulatih Terengganu FC I, Irfan Bakti Abu Salim mahu melihat para pemainnya bermain dengan corak yang positif apabila mereka menerima kunjungan Johor Darul Ta’zim pada hujung minggu ini.

Walaupun Skuad Penyu merupakan satu-satunya pasukan yang masih belum tewas di pentas Liga Super musim ini, JDT masih menghuni puncak liga dengan sembilan mata daripada empat perlawanan pertama.

Dan skuad Southern Tigers sudah tentu akan berazam untuk bangkit semula selepas hanya sekadar seri 0-0 menentang Tampines Rovers tempoh hari.

Namun bagi Irfan, tiada sebab untuk pasukannya takut untuk bertembung dengan juara bertahan Liga Super itu, terutamanya jika mereka meneruskan momentem daripada perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Kita menghormati JDT tetapi tidak takut dengan mereka. Saya pesan kepada pemain supaya mengekalkan karakter masing-masing dan corak permainan seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Kosmo!

Minggu lepas, kedua-dua pasukan berjaya mencatat kemenangan di pusingan kedua Piala FA. Terengganu berjaya menewaskan PJ Rangers 4-0, manakala JDT pula memerlukan masa tambahan untuk menumpaskan Sabah 2-1 di Kota Kinabalu.