Pengadil bola sepak sering diberikan pelbagai gelaran. Sesetengahnya dapat dijangka dan ada juga yang terpaksa dihadamkan, namun tidak ramai yang meraih gelaran “aneh”.
Bagaimanapun, itulah jolokan yang diberikan oleh pengendali Las Palmas, Paco Jemez, terhadap pengadil dari Sepanyol, Antonio Miguel Mateu Lahoz, pada minggu lalu susulan keputusan seri ketika menentang Barcelona. Walaupun peminat-peminat di Camp Nou turut berasa marah dengannya, namun Mateu Lahoz bukanlah seorang pengadil yang lebih ke arah sebagai penyokong gergasi Catalan atau Real Madrid tetapi dia merupakan “peminat setia” dirinya sendiri.
Mateu Lahoz seorang pengadil yang sentiasa mahukan perhatian. Selepas menyimpan impian untuk bergelar bintang bola sepak sewaktu kecil, dia sebenarnya telah mencapai kehendak itu apabila sering menarik perhatian dalam kancah LaLiga lebih banyak berbanding pemain-pemain. Pengadil berusia 40 tahun yang berasal daripada Kumpulan Valencian itu telah tampil beberapa kali dalam program Sepanyol “El Dia Despues” dalam satu musim dan ia cukup untuk melayakkannya menerima bayaran yang setimpal. Ketibaannya ke stadium seringkali dilengkapkan dengan kaca mata hitam seperti seorang artis masyhur, keakrabannya bersama pemain-pemain di terowong dan ketika perlawanan membuatkannya seorang pengadil yang unik.
Tiada pengadil lain yang dapat berbual bersama pemain-pemain sama seperti yang dilakukan oleh Mateu Lahoz. Dia juga sering memanggil mereka dengan nama sebenar, sambil mengucapkan tahniah di atas kelahiran bayi atau pelancaran sebarang jenis perniagaan ketika menuju bilik persalinan selepas mengetahuinya melalui akhbar-akhbar.
“Bagi saya, setiap pembacaan melalui media untuk sesebuah perlawanan adalah satu keperluan. Saya mahu mengetahui bagaimana setiap pemain memasuki padang, melawan tekanan selepas dicemuh akibat lakonan dalam perlawanan serta kad yang mereka telah terima. Saya menghabiskan masa selama berjam-jam untuk membaca, menonton video dan membuat nota untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun, bukan Mateu Lahoz sahaja yang melakukan kerja rumah sebelum setiap perlawanan dihadapi.
“Dia sangat berbeza dengan pengadil lain di Sepanyol dan mereka juga mempersiapkan diri untuk perlawanan dengan cara mereka sendiri,” kata pengendali Almeria, Fernando Soriano, sambil mengelak daripada merujuk kepada popularity Mateu Lahoz.
Apa yang dimaksudkan oleh Soriano adalah cara Mateu Lahoz memperlihatkan sesuatu kesalahan di dalam padang – lebih kepada corak pengadilan di England — berbanding pengadil lain kerana gaya yang ditampilkan sering dilihat untuk mencetuskan satu situasi.
“Dia selalu menunjukkan reaksi yang berbeza dan menyebabkan keadaan menjadi berlebihan,” ujar wartawan AS, Alfredo Relano, sambil menjelaskan, terdapat dua jenis pengadilan di Sepanyol. Sama ada mengikut tatasusila biasa atau cara Mateu Lahoz. Setiap kali perlawanan di Sepanyol diadakan, pemain-pemain sudah boleh menjangka sesuatu yang luar biasa akan berlaku sekiranya nama Mateu Lahoz diletakkan sebagai pengadil.
Gaya ala Inggeris yang ditunjukkan juga semakin lama semakin menebal. Sejak memulakan karier pada 2008, segalanya bermula bagus buatnya selepas mengharungi beberapa musim yang cemerlang. Dia juga meraih pujian Jose Mourinho yang melabelkannya “pengadil yang hebat dengan kepercayaan yang bagus” dan kenyataan itu dikeluarkan sebelum Mateu Lahoz menerapkan gaya ala Inggeris dalam setiap keputusannya di atas padang, namun dalam masa sama dia tetap banyak menggunakan kuasa kad kuning — termasuk terhadap pemain yang mencetuskan situasi di luar kawalan bola – berbanding pengadil-pengadil lain.
“Terdapat beberapa perlawanan yang menyaksikannya melayangkan lebih banyak kad kuning berbanding jumlah tiupan wisel,” jelas wartawan Sepanyol, Daniel Blanco.
Walaupun “sentuhan emas” miliknya mungkin semakin pudar tetapi harus diingat bahawa Mateu Lahoz adalah individu yang mengadili perlawanan antara di Stade De France pada 2015 antara Perancis dan Jerman, dimana ketika itu wujud pengeboman di kota Paris. Pengadil kelahiran Valencia itu mengakui bahawa situasi itu memberikan kesan kepadanya setiap kali melangkah masuk ke padang.
Pengulas radio terkenal, Jose Ramon De La Morena, menyifatkan pegawai dalam setiap perlawanan kini sering meniupkan wisel tetapi dalam masa sama, kualiti Mateu Lahoz dalam mengetuai sesebuah perlawanan tidak boleh dipertikai. Tidak dinafikan, dia sememangnya dilahirkan sebagai seorang pengadil bola sepak. Dalam perjalanan pulangnya dari perlawanan melibatkan Deportivo La Coruna pada 2016, Mateu Lahoz telah mengawal satu keadaan huru-hara di lapangan terbang akibat penangguhan penerbangan dan dia sendiri bertindak sebagai jurucakap syarikat penerbangan untuk mententeramkan orang ramai yang mula menyuarakan rasa tidak puas hati. Jadi, bukan dia yang sering meletakkan diri untuk menjadi perhatian tetapi perhatian yang sering membuatkannya mudah dilihat.
Mateu Lahoz juga kerap menjadi bualan ramai pada setiap pagi kerana namanya sering diletakkan sebagai pengadil dalam perlawanan-perlawanan besar. Setiap pengadil tidak boleh mengadili perlawanan melibatkan komuniti sendiri, jadi disebabkan Mateu Lahoz berasal dari Valencia, maka tidak menjadi masalah untuknya menjadi individu terpenting dalam aksi melibatkan Barcelona, Real Madrid mahupun Atletico Madrid.
Dia yang telah mengadili aksi antarabangsa sejak 2011 juga akan mewakili Sepanyol dalam saingan Piala Dunia 2018 di Russia dan sudah pasti kritikan besar menantinya, memandangkan pentas terbesar itu melibatkan penyokong taksub dari Greece, Jerman, Russia dan Scotland sebagai contoh.
Mateu Lahoz menjadi perhatian di laman social Twitter ketika mengadili aksi antara Itali dan Sweden dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia, dimana dia menjadi sasaran cemuhan susulan keengganan menghadiahkan sepakan penalty kepada Azzurri. Ada yang mengkritik cara pengadilannya, ada juga yang menyifatkan Mateu Lahoz lebih menarik perhatian berbanding pemain daripada kedua-dua pasukan. Terdapat juga peminat yang menggelarkannya sebagai Mike Dean (pengadil England) versi Sepanyol.
Sejujurnya, kehadiran Mateu Lahoz harus disambut dengan gembira diatas sumbangannya untuk bola sepak Sepanyol dan dunia. Ada yang menggelarkannya aneh dan menjengkelkan tetapi itu adalah pendapat setiap peminat dalam saingan LaLiga. Dia adalah hadiah dalam pengadilan di Sepanyol. Dialah Antonio Miguel Mateu Lahoz.
Oleh Euan McTear
(www.tifofootball.com)