Luar Negara

Ekslusif: “Saya terpaksa berlatih keseorangan tetapi kini saya gembira di Bangkok” – Kiko Insa

Hujung minggu lepas, pemain kacukan Malaysia-Sepanyol, Kiko Insa akhirnya membuat penampilan pertama untuk pasukan Bangkok Glass FC, ketika mereka turun menentang Siam Navy.

Bekas pemain Pahang itu digandingkan dengan Matt Smith di bahagian pertahanan dan meskipun keserasian di antara kedua-dua pemain masih belum kukuh, Bangkok Glass berjaya seri 0-0 dalam perlawanan tersebut. Keputusan itu membantu Bangkok Glass meraih mata pertama mereka di pentas Thai Premier League, selepas tewas di dalam dua perlawanan pertama.

Skuad BGFC jelas masih sedang mencari rentak, tetapi bagi Kiko Insa, peluang bermain di posisi kegemarannya sudah cukup baik buat masa ini. Terutamanya selepas dia terpaksa berlatih keseorangan untuk tiga bulan selepas hubungannya dengan pihak pengurusan Pahang dilanda masalah, sebelum berhijrah ke Bangkok Glass.

“Bukan senang untuk diberi peluang beraksi di sini. Walaupun kuota pemain import di Thailand sama seperti Malaysia, hanya empat pemain boleh diturunkan di atas padang. Jadi, persaingan untuk diturunkan dalam kesebelasan pertama cukup sengit,” kata Kiko Insa kepada Football Tribe Malaysia.

“Apabila nama saya tersenarai dalam kesebelasan pertama minggu lepas, saya cukup gembira. Selepas tiga bulan berlatih secara keseorangan, saya sudah lama mengidam untuk bermain di atas padang semula. Kini, saya gembira bersama Bangkok Glass dan saya bersyukur kepada Tuhan untuk peluang ini.

“Tetapi saya perlu terus berusaha ketika sesi latihan untuk memastikan saya terus diberi peluang untuk beraksi di kesebelasan pertama. Bukan senang, tetapi saya akan sentiasa beri yang terbaik,” tambah Insa.

Walaupun Bangkok Glass menggunakan tiga pertahanan tengah, tugas Insa buat masa ini adalah untuk membentuk keserasian yang positif bersama kapten pasukan, iaitu Matt Smith. Pemain yang berusia 35 tahun itu antara nama yang paling berpengalaman dalam skuad BGFC, dan Insa yakin bahawa dia mampu membina gandingan yang mantap bersama bekas pemain Brisbane Roar itu.

“Sebenarnya, bukan susah untuk saya bermain bersama Matt. Kami mempunyai banyak persamaan dari segi corak permainan, dan ini memberi kelebihan kepada bahagian pertahanan Bangkok Glass apabila kami diturunkan. Minggu lepas, kami berjaya menyimpan ‘clean sheet’ menentang sebuah pasukan yang agak kuat.

“Faktor yang paling penting adalah hubungan kami di luar padang. Saya sudah mula menjadi kawan rapat Matt di luar padang, dan itu hanya akan memberi impak yang positif ke atas gandingan kami di atas padang.”

Hujung minggu ini, Kiko dan rakan sepasukannya akan menerima kunjungan Port FC, pasukan yang sedang menghuni kedudukan teratas di takhta Thai Premier League, dengan 9 mata daripada 3 perlawanan pertama. Selepas menewaskan Pattaya United dalam perlawanan pertama, Port FC kemudiannya menundukkan pasukan gergasi Thailand, Muangthong United 2-0. Minggu lepas pula, mereka berjaya meraih kemenangan 3-2 ke atas Ratchaburi FC.

“Kami sedar bahawa Port FC akan tiba dengan momentum yang positif pada hari Ahad ini, manakala prestasi semasa kami pula agak mengecewakan. Tetapi, bolasepak ini ibarat hidup. Kita tak mungkin tahu apa yang akan berlaku esok atau hari Ahad ini.

“Hakikatnya adalah, ini merupakan peluang terbaik untuk kami membuktikan kekuatan Bangkok Glass di atas padang. Jika setiap pemain memberi yang terbaik, dan tampil dengan persembahan yang penuh bersemangat, saya yakin kami dapat menewaskan Port FC, dan sekaligus mencetus kebangkitan BGFC untuk musim ini,” tambah Insa.

Untuk menyaksikan perlawanan Bangkok Glass vs Port FC pada hari Ahad ini, sila layari laman web rasmi SportsFix.tv – sebuah platform penstriman langsung yang menyedia pelbagai konten menarik, termasuk siaran langsung perlawanan Serie A!