Luar Negara

“Penyokong Arsenal sudah tidak peduli dan saya faham perasaan mereka” – Carragher

Masanya sudah tiba.

Itulah yang diungkapkan oleh bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher mengenai Arsene Wenger selepas Arsenal tewas 3-0 kepada Manchester City di Stadium Emirates yang dilihat agak kosong awal pagi tadi.

“Saya rasa malam ini bukan mengenai apa yang berlaku di atas padang.

“Saya rasa musim lalu dapat dilihat kemarahan di kalangan penyokong beberapa kali. Ada tunjuk perasaan terhadap Arsene Wenger yang saya rasa sangat memalukan. Saya tidak bersetuju dengan itu.

“Tetapi malam ini lebih teruk.

“Mereka (penyokong) sudah tidak peduli. Mereka langsung tidak hadir. Saya bukan marah mereka kerana tidak hadir, kerana saya faham.

“Kita dapat dengar cemuhan di akhir perlawanan, tetapi ianya berbeza dari musim lalu. Ketika itu ianya kemarahan, tetapi kini ianya seakan-akan mereka sudah muak. Mereka hanya menunggu pengurus untuk meletakkan jawatan.”

Carragher turut menyatakan rasa kesalnya mengenai apa yang sedang berlaku kepada seorang pengurus yang sudah lama berada di bolasepak Inggeris.

“Saya rasa ianya sedih. Wenger seorang lagenda. Ketika saya masih bermain, dia dan Alex Ferguson adalah dua pengurus yang bersaing sesama sendiri.

“Dia seorang lagenda bukan sahaja kepada Arsenal, tetapi juga kepada bolasepak England. Tetapi perlu diubah sekarang. Ia perlu dilakukan.

“Dia tidak sepatutnya melalui perkara seperti ini, dengan stadium yang kosong.

“Mereka perlu mengumumkan akan menukar pengurus untuk musim hadapan dan saya pasti di stadium ini, di studio tv, semua orang mahu memberikan pengakhiran terbaik untuk Wenger. Dia layak menerima penghargaan itu.”