Malaysia Luar Negara

Wartawan Thai kongsikan pandangan tentang penampilan pertama Kiko Insa untuk Bangkok Glass

Bintang kacukan Malaysia-Sepanyol, Kiko Insa akhirnya berjaya membuat penampilan pertama untuk Bangkok Glass FC apabila diturunkan oleh ketua jurulatih, Josep Ferre, apabila mereka bertembung dengan pasukan Siam Navy pada hari Sabtu lepas.

Bekas pemain Pahang itu berhijrah ke Thailand pada awal bulan Januari, sekaligus menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang beraksi di negara tersebut untuk musim 2018. Selepas tidak diturunkan dalam dua perlawanan pertama, Insa akhirnya menyarung jersi Bangkok Glass buat kali pertama, hujung minggu lepas.

Meskipun perlawanan tersebut tamat 0-0, Insa diberi peluang bermain sebagai pertahanan tengah sepanjang 90 minit, dan digandingkan dengan kapten pasukan, Matt Smith, yang turut merupakan pemain import yang berasal daripada England. Berikut adalah analisis yang diberikan oleh rakan kami di Football Tribe Thailand.

“Untuk perlawanan ini, Bangkok Glass menggunakan tiga pertahanan tengah, dan Kiko Insa beraksi di dalam kesebelasan pertama untuk 90 minit. Secara keseluruhan, dia bermain dengan baik untuk membantu Bangkok Glass mendapatkan ‘clean sheet’ dalam penampilan pertama beliau untuk kelab barunya,” kata Panchalee Dachachai, rakan kami di Football Tribe Thailand.

“Tetapi jika kita melihat dengan lebih teliti, Insa memang ada membuat beberapa kesilapan dan komunikasi di antara beliau dan Matt Smith masih belum sempurna. Kadang kala, Insa nampak gugup dalam proses mengekang serangan yang dilancarkan oleh barisan penyerang Siam Navy FC.

“Walau bagaimanapun, kebanyakkan penyokong Bangkok Glass setuju bahawa Insa perlu diberi masa. Ini baru penampilan pertamanya, dan dia perlu bermain di dalam beberapa lagi perlawanan sebelum mampu membina keserasian dengan pemain lain di bahagian pertahanan,” tambah Panchalee Dachachai.

Meskipun dilabel sebagai antara pasukan pencabar di pentas Thai Premier League musim ini, Bangkok Glass masih belum meraih sebarangan kemenangan. Selepas tewas 0-1 di tangan Nakhon Ratchasima, pasukan yang dibintangi oleh bekas pemain JDT, Paulo Rangel, Bangkok Glass dikalahkan oleh Buriram United dalam perlawanan kedua.