Liga Super Malaysia

JDT bakal lakukan pertukaran besar pada bulan Jun

Selepas kekalahan 2-0 kepada Song Lam Nghe An dalam saingan Piala AFC, Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’azim (JDT), Alistair Edwards mengumumkan JDT akan membuat pertukaran pemain.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, Alistair Edwards turut menyatakan bahawa JDT akan membuat pertukaran lebih besar pada bulan Jun dan Disember nanti.

Buat masa ini, Edwards menyatakan bahawa JDT akan menggunakan beberapa pemain luar negara yang beraksi bersama JDT II buat masa ini.

JDT terpaksa berdepan dengan kelab Vietnam itu tanpa kelibat pemain import mereka, Jorge Pereyra Diaz yang meninggalkan kelab sehari sebelum perlawanan dan jurulatih Ulisses Morais yang meletakkan jawatan ekoran masalah keluarga.

Juara bertahan Liga Super Malaysia itu kini berada di tangga kedua Kumpulan H di belakang Song Lam Nghe An dan berkongsi mata bersama Persija Jakarta menerusi perbezaan jaringan gol. Dalam satu lagi perlawanan, Persija Jakarta menewaskan kelab Singapura, Tampines Rovers 4-1.