Luar Negara

Penyokong Arsenal tidak mahu Brendan Rodgers ganti Wenger

Selepas kekalahan Arsenal kepada Manchester City pada Ahad lalu dalam saingan Piala Carabao, masa depan Arsene Wenger semakin menjadi perbualan hangat.

Dikhabarkan Arsenal sedang mula mencari pengurus baru bagi menggantikan Wenger pada musim hadapan dan antara nama yang dikaitkan dengan kelab berkenaan adalah pengurus Celtic, Brendan Rodgers.

Rodgers sebelum ini pernah menunjukkan prestasi yang baik sebagai pengurus di Liga Perdana Inggeris bersama Swansea City dan Liverpool. Tetapi selepas aksi buruk Liverpool di musim terakhirnya, dia telah dipecat dan kini menikmati kejayaan bersama Celtic.

Namun, berita ini telah mendapat reaksi negatif daripada penyokong Arsenal di laman sosial yang menunjukkan keengganan mereka menerima kehadiran Brendan Rodgers ke kelab mereka.

Antara nama lain yang turut dikaitkan dengan Arsenal adalah bekas penyerang mereka Thierry Henry, pengurus Monaco Leonardo Jardim, pengendali Shaktar Donetsk Paul Fonseca, ketua jurulatih Jerman Joachim Low, Carlo Ancelotti dan bekas pemain Arsenal, Mikel Arteta.