Malaysia Liga Super Malaysia

Eksklusif: Iedil Putra (Rahman Ola Bola) mahu lihat kebangkitan Kuala Lumpur FA

Nama Iedil Putra kini menjadi sebutan ramai selepas membawa watak Rahman dalam teater Ola Bola the Musical. Ramai peminat mula melihat bakat yang ada kepada anak jati Kuala Lumpur ini. Selain aktif di bidang teater, Iedil juga pernah berlakon dalam beberapa filem seperti Ngorat, Terbaik dari Langit, Pekak dan Interchange di mana dia bertemu dengan isterinya, Prisia Nasution yang juga merupakan pelakon dari Indonesia.

Iedil yang kini kadang kala berada di Kuala Lumpur dan Jakarta, merupakan antara selebriti yang tidak segan menunjukkan sokongannya kepada pasukan kesayangannya, Kuala Lumpur. Walaupun sibuk dengan lakonan, dia tidak pernah sekurang-kurangnya untuk melihat keputusan The City Boys. Football Tribe berkesempatan menemuramah pelakon hebat ini mengenai cintanya kepada pasukan Kuala Lumpur.

FT: Bagaimana anda boleh mula menyokong Kuala Lumpur?

IP: Saya tidak ingat bila saya mula menyokong Kuala Lumpur. Mungkin sejak sekolah rendah, kerana memori terawal saya adalah menonton perlawanan separuh akhir Piala Malaysia di antara KL dan Johor di Stadium Merdeka pada tahun 1991. KL kalah 3-1 ketika itu. Abang-abang saya memang peminat bolasepak, yang sulung menyokong Selangor dan yang kedua Pahang. Saya pun tidak tahu apa yang membuatkan saya tertarik dengan KL. Mungkin jersi belang merah putih ketika zaman Azman Adnan dan Zoran Nikolic dulu.

FT: Apa pendapat anda mengenai prestasi KL setakat ini?

IP: Setakat ini, banyak perubahan telah dilakukan, ramai pemain baru, stadium baru tapi mungkin masih bertatih kalau mahu dibandingkan pasukan lain di Liga Super. Mungkin musim ini masih ‘trial dan error’. Jadi perlu lebih banyak bersabar. Sasaran utama adalah untuk kekal dalam liga. Kalau dapat enam teratas itu bonus.

 

FT: Bagaimana anda rasa golongan selebriti boleh membantu menaikkan imej bolasepak tempatan?

IP: (Merendah diri) Saya bukan selebriti, jadi itu kena tanya mereka. Bagi saya, anda minat, anda turun stadium. Itu sahaja. Bagaimana saya minat bidang lakonan, harus pakai jiwa raga. Semangat itu harus ada dengan pasukan anda. Tidak kira apa, itu paling penting.

FT: Selain di Malaysia, anda juga sering ke Indonesia dan tinggal di sana, pernahkah anda menontong aksi Liga Indonesia di stadium?

IP: Setakat ini saya belum sempat lagi, tapi suatu hari nanti saya memang mahu pergi!

FT: Apa pendapat anda mengenai kehadiran ramai pemain dari Indonesia ke Malaysia dan kenapa kurangnya pemain tempatan berhijrah ke luar?

IP: Kita semua tahu Liga Malaysia menjanjikan pendapatan yang lebih lumayan, jadi mungkin itu yang menarik mereka ke sini. Bagi saya kalau ini dapat meningkatkan mutu pemain dan liga, ianya tidak salah. Tapi sama seperti pemain import lain yang ke sini, saya berharap persaingan ini dapat juga meningkatkan pemain tempatan. Saya pun kurang tahu kenapa pemain kita sukar untuk berhijrah, mungkin rindukan sambal belacan!

Photo credit: Marie Claire

FT: Anda terlibat dalam Ola Bola The Musical, satu karya mengenai kejayaan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow. Bagaimana anda rasa Malaysia boleh kembali berjaya seperti di zaman itu?

IP: Banyak perkara yang perlu dilakukan. Dari segi kewangan, kemudahan, semangat dan pengiktirafan. Kerajaan, FAM, pengurusan, pemain dan penyokong perlu mainkan peranan. Apa yang penting perlu ada semangat untuk berjaya. Kalau kita lihat, di peringkat belia dan remaja kita memang hebat, tetapi ada jurang yang besar bila dibawa ke skuad senior. Mungkin perlu fokus ke situ. Tapi saya lihat ada usaha yang dilakukan. Ini bukan tugas pengurusan sahaja, penyokong juga perlu kuat, pemain kena ada semangat tinggi, dan berikan yang terbaik bila tiba masanya. Itu apa yang ada pada pemain dahulu. Dari segi mentaliti, kita memang akan kalah. Mungkin kerana kehidupan kita di sini sekarang agak santai, tiada kepayahan seperti di negara jiran membuatkan kita lemah. Banyak negara Asean sudah berada di atas kita. Kita mesti bangkit sekarang.

FT: Dalam teater tersebut, anda membawa watak Rahman, seorang pengulas bolasepak. Siapa pengulas bolasepak yang menjadi rujukan anda dan adakah anda pernah terfikir untuk menjadi pengulas bolasepak?

IP: Untuk watak Rahman, tiada inspirasi yang spesifik, tetapi saya banyak melihat video pengulas sukan dari seluruh dunia. Tapi banyak juga nuansa yang saya cipta sendiri supaya melahirkan kelainan dalam watak Rahman., Nak tau apa kelainan itu, kena datang sendiri tengok Ola Bola The Musical!

FT: Ucapan anda untuk semua penyokong bolasepak tempatan terutamanya kepada Kuala Lumpur?

IP: Saya harap semua akan terus menyokong bolasepak tempatan, walaupun ada kelemahan, tapi kita cari sudut positif dan fokus di situ. Galakkan lagi hubungan di antara penyokong dan pasukan., kadang-kadang pengurusan masih berada di takuk lama, jadi tugas kita sebagai penyokong kena ‘bagi salam’ (tegur baik-baik). Kepada penyokong KL, terus berada di belakang pasukan. Musim ini kita cuba, try, test. Tetap menyokong dan suntik semangat. Semoga KL boleh beraksi dengan lebih hebat. Sampai Mati Kuala Lumpur!

Kepada anda yang masih belum berkesempatan, Ola Bola The Musical masih dipentaskan sehingga 11 Mac 2018. Tiket boleh didapati di www.galactix.asia/olabola-musical