Malaysia Liga Super Malaysia

BEST XI Liga Super Malaysia (Matchday 4): Forkey Doe, Figueroa terajui jentera serangan

25 gol.

Itu jumlah jaringan yang disajikan oleh enam perlawanan Liga Super Malaysia yang berlangsung pada Matchday 4, termasuk pertembungan dramatik di antara PKNS FC dan Kedah, yang menyaksikan tujuh gol.

Johor DT kembali ke landasan yang positif dengan kemenangan 3-0 ke atas Melaka United, manakala Kelantan pula berjaya meraih tiga mata pertama mereka selepas menewaskan Perak 3-2 di Kota Bharu.

Prestasi Kuala Lumpur pula terus menjunam dengan kekalahan 1-2 di tangan PKNP, Forkey Doe meledak dua gol untuk membantu Pahang menewaskan Selangor 3-0, dan Terengganu terus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dengan kemenangan tipis ke atas Negeri Sembilan.

Berikut adalah pilihan kami untuk Kesebelasan Terbaik Liga Super Malaysia – Matchday 4

FORMASI: 3-5-2

Penjaga Gol: BRYAN SEE (PKNP)

Bryan memainkan peranan yang penting dalam membantu PKNP mendapatkan kemenangan kedua mereka untuk musim ini. Dia berjaya membuat beberapa tepisan penting ketika berdepan dengan penyerang Kuala Lumpur, dan hanya bolos satu gol di Stadium Batu Kawan pada petang Ahad.

Pertahanan: FITRI OMAR (Terengganu)

Selain bermain dengan cukup cemerlang sebagai bek kiri Terengganu, Fitri Omar turut mencatat satu assist ketika menentang Negeri Sembilan tempoh hari. Lee Jun-Hyeob berjaya menjaring gol kemenangan, selepas menerima hantaran yang cukup cantik daripada Fitri Omar.

Pertahanan: FADHLI SHAS (Johor Darul Ta'zim)

Fadhli Shas terus mengekalkan prestasi yang konsisten di bahagian pertahanan Johor DT dan gol kedua mereka ketika menentang Melaka terhasil melalui gerakan yang dimulakan oleh Fadhli Shas. Skuad Southern Tigers bukan sahaja berjaya mendapat tiga mata berharga, malah mereka juga merekod 'clean sheet' kedua mereka musim ini.

Pertahanan: RITUS KRJAUKLIS (PKNP)

Pemain pertahanan yang berasal daripada Latvia ini menjaringkan gol pembukaan untuk PKNP dan mengawal ketat barisan serangan Kuala Lumpur, terutamanya Guilherme de Paula dan juga Paulo Josue.

Tengah: LIRIDON KRASNIQI (Kedah)

Bintang Kedah ini bermain dengan cukup efektif setelah pulang ke kesebelasan pertama Kedah untuk perlawanan menentang PKNS. Dia bukan sahaja menjaringkan dua gol, malah turut membantu setiap 'build-up play' yang dilakukan oleh skuad Ramon Marcote.

Tengah: LEE TUCK (Terengganu)

Sebagai 'midfield maestro' Terengganu, Lee Tuck berjaya memulakan kebanyakan yang dilancarkan oleh skuad Penyu di Stadium Tunku Abdul Rahman, termasuk gerakan efektif yang menghasilkan gol pertama mereka.

Tengah: DO DONG-HYUN (Kelantan)

Pemain sayap Kelantan ini jelas pemain terbaik Kelantan ketika mereka meraih kemenangan 3-2 ke atas Perak di Kota Bharu pada hari Sabtu lepas. Do berjaya meledak tiga gol pada malam tersebut, selain bekerja keras untuk mengekang segala usaha pasukan lawan.

SAYAP: FARIS RAMLI (PKNS)

Pemain Singapura ini terus menunjukkan aksi cemerlang bersama PKNS dan berjaya menjaringkan satu gol dan mencatat satu assist, biarpun pasukannya tewas di tangan Kedah.

SAYAP: MAHALI JASULI (PKNS)

Mahali membantu pasukan PKNS melancarkan beberapa seranan penting dari posisi sayap kanan, dan sempat menjaring dua gol, termasuk jaringan sepakan percuma yang cukup cantik pada minit terakhir perlawanan.

Penyerang: FRANCIS FORKEY DOE (Pahang)

Forkey Doe tampil dengan aksi yang berbisa di Stadium KLFA tempoh hari. Biarpun masih belum mencapai tahap kecergasan optimum, Forkey Doe berjaya meledak dua gol untuk membantu Pahang menewaskan pasukan lamanya, Selangor.

Penyerang: LUCIANO FIGUEROA (Johor Darul Ta'zim)

Biarpun berumur 36 tahun, Figueroa menjadi antara pemain paling berpengaruh di atas padang apabila mereka berjaya menewaskan skuad Melaka United tempoh hari. Selain menjaringkan satu gol, Figueroa turut mencatat satu assist dalam perlawanan tersebut.

Anda setuju dengan pilihan kami? Kongsikan pendapat anda di laman rasmi Facebook kami!