Bekas ketua jurulatih AS Roma, Luciano Spaletti telah mendedahkan bahawa hubungannya bersama lagenda kelab, Francesco Totti mengalami sedikit masalah pada bulan-bulan terakhir pemain itu di Stadio Olimpico.
Totti bersara pada penghujung musim lepas, selepas menghabiskan 18 tahun bersama Roma tetapi menurut Spaletti, bekas bintang skuad kebangsaan Itali itu gagal memberi impak yang positif ketika musim terakhirnya.
“Totti hampir tidak boleh berlari lagi ketika itu. Dan situasi itu menyebabkan pemain lain kecewa setiap kali saya memberi peluang kepada Totti beraksi di atas padang,” kata Spaletti, menurut laporan Football-Italia.net
“[Presiden AS Roma James] Pallotta memberitahu saya bahawa dia berniat untuk menjual pemain-pemain terbaik Roma pada penghujung musim. Namun, saya tetap berjaya membantu Roma meraih gelaran naib juara,” tambah Spaletti.
Totti, yang sering dikenali sebagai Er Bimbo de Oro, merupakan penjaring kedua terbanyak dalam sejarah Serie A dengan 250 gol. Selain membantu Roma memenangi satu kejuaraan Serie A, dan dua kejuaraan Coppa Italia, Totti turut menjadi sebahagian daripada skuad Itali yang menjadi juara Piala Dunia pada tahun 2006.
Saksikan perlawanan Serie A yang terpilih secara ‘LIVE on HD’ melalui platform SportsFix. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.sportsfix.tv