Asia AFC U23 Championship

Malaysia bakal menjadi hos kejohanan AFC B-23 pada tahun 2020?

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin telah mendedahkan bahawa presiden FAM, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim amat berkenan untuk Malaysia menjadi tuan rumah bagi kejohanan AFC B-23 yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2020.

Kejohanan tersebut menawarkan peluang yang cukup bagus untuk Malaysia mencipta sejarah kerana empat pasukan yang berjaya layak ke peringkat separuh akhir akan menerima slot automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Setakat ini, kejayaan Malaysia layak ke pentas Sukan Olimpik pada tahun 1980 merupakan perkara terbesar dalam sejarah bolasepak tanah air tetapi anak buah Ong Kim Swee kini mampu melakar sejarah baru sekiranya mereka tampil dengan aksi cemerlang pada kejohanan tersebut.

“Presiden Tunku Ismail juga berkenan membida dengan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) untuk menjadi tuan rumah pusingan akhir pada 2020 dan kalau kita berjaya, kita akan memberi tumpuan kepada pasukan ini bagi pusingan kelayakan B-23 AFC 2019 dan pusingan akhir itu nanti,” kata Datuk Hamidin, menurut laporan Arena Metro.

Baru-baru ini, skuad Datuk Ong Kim Swee berjaya mara ke peringkat suku akhir di pentas Piala AFC B-23 tahun, sebelum tewas tipis di tangan Korea Selatan. Namun, kejayaan mereka menumpaskan Arab Saudi di peringkat kumpulan menjadi kebanggaan jutaan rakyat Malaysia.

Malah, beberapa kelab Thailand dan Korea Selatan dikatakan sudah mula memantau Akhyar Rashid, Nor Azam Azih dan Safawi Rasid selepas melihat aksi ketiga-tiga pemain ini di China.