Malaysia Liga Super Malaysia

Lima perkara daripada perlawanan Piala Sumbangsih di antara JDT dan Kedah

Tirai Liga Super 2018 dibuka dengan perlawanan yang cukup mengujakan malam semalam selepas Johor DT berjaya menjaringkan dua gol untuk menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos.

Kemenangan ini bukan sahaja menghadiahkan Piala Sumbangsih, malah skuad Ulisses Morais turut meraih tiga mata penting untuk memulakan misi Liga Super mereka dengan nada yang positif.

Kedah berjaya meledak pada minit ke-15, meskipun tidak mengawal tempo perlawanan, melalui Pablo Pallares, sebelum JDT menyamakan keduduakan 13 minit kemudian melalui Luciano Figueroa. Marcos Antonio kemudiannya berjaya menjaringkan gol kemenangan di babak kedua, meskipun beraksi buat kali pertama semenjak lima bulan lepas.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami lihat daripada perlawanan tersebut:

CORBIN-ONG BAKAL MELETUP MUSIM INI?

Pemain kacukan Barbados ini jelas pemain terbaik di atas padang apabila JDT turun bertembung dengan Kedah malam semalam. Dia mempunyai ketinggian yang memberinya sedikit kelebihan dalam situasi 'set-piece', tetapi dia masih cukup pantas untuk meletakkan tekanan ke atas pertahanan Kedah dari posisi bek kiri. Tambahan pula, Corbin-Ong berjaya mencatat satu 'assist' selepas membuat hantaran lintang untuk gol Marcos Antonio pada babak kedua. Secara keseluruhan, persembahan bekas pemain FSV Frankfurt ini adalah tanda amaran yang penting bagi Fazly Mazlan.

LIRIDON MASIH BERBISA

Biarpun Kedah kehilangan bisa Ken Ilso di bahagian serangan, peranan yang dimainkan oleh Liridon Krasniqi masih besar. Dari perspektif kesinambungan skuad, pengaruh Liridon masih ditagih oleh rakan sepasukannya. Malam semalam, dia sering menjadi jambatan yang penting di antara bahagian pertahanan dan bahagian serangan Kedah, meskipun tahap kecergasannya tidak begitu optimum. "Liridon hanya menyertai latihan pra-musim kami 15 hari lepas. Tetapi anda masih boleh melihat kualitinya di atas padang," kata Marcote malam semalam.

HARISS HARUN MEMERLUKAN MASA

Dari segi kebolehan, kita tidak boleh mempersoalkan kebolehan Hariss Harun. Tetapi berdasarkan persembahan malam semalam, Hariss nampaknya masih belum mendapat rentak permainan bersama skuad JDT ini. Keserasian di antara dia dan Safiq tidak terserlah di atas padang dan dia sering hilang kawalan bola apabila ditekan oleh pemain tengah Kedah. Perkara ini tidak begitu mengejutkan kerana agak mudah untuk mana-mana pemain kehilangan rentak permainan selepas satu tahun tidak beraksi dengan sesebuah pasukan. Jadi buat masa sekarang, Hariss memerlukan masa untuk membentuk semula keserasian dengan Safiq dan juga Natxo Insa.

SELAMAT KEMBALI, MARCOS ANTONIO

Untuk lima bulan, Marcos Antonio hanya mampu menyaksikan setiap perlawanan JDT dari kerusi penyokong. Tetapi malam semalam, tonggak pertahanan itu akhirnya kembali beraksi untuk skuad Southern Tigers dan berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk membantu JDT memenangi Piala Sumbangsih. Selepas Bruno Soares gagal menyerlah dalam perlawanan kelayakan ACL menentang Muangthong baru-baru ini, para penyokong JDT sudah tentu teruja untuk melihat kelibat Marcos di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos malam semalam.

AKHYAR PERLU DIBERI PELUANG

Jika Kedah mahu beri cabaran sengit musim ini, Akhyar Rashid perlu diberi peluang untuk menjadi aspek yang penting dalam skuad Ramon Marcote. Malam semalam, ketua jurulatih Kedah itu membuat keputusan untuk tidak menurunkan Akhyar atas faktor kesediaan. "Anda juga perlu ingat bahawa Akhyar baru sahaja menjalani latihan bersama kami selama satu minggu," kata Marcote kepada Football Tribe Malaysia. Namun, berdasarkan apa yang kita lihat di kejohanan AFC B-23 baru-baru ini, Akhyar perlu diturunkan jika Kedah mahu meningkatkan tahap kreativiti di bahagian serangan. Kelicikkannya akan membantu pemain-pemain seperti Syazwan Zainon, Pablo Pallares dan juga Baddrol Bakhiar.