Kedah dikatakan mahu melengkapkan perpindahan Boaz Solossa dari Persipura Jayapura dalam masa terdekat untuk melengkapkan kuota pemain import mereka untuk musim 2018.
Menurut pelbagai laporan media Indonesia, Boaz dikatakan sudah bersedia untuk meninggalkan Persipura Jayapura dan Kedah dijangka akan menjadi destinasi seterusnya untuk penyerang Indonesia itu.
Namun, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar masih tidak mahu mengesahkan berita tersebut secara rasmi dan menurut beliau, pemain import ASEAN Kedah akan didedahkan dalam masa beberapa hari akan datang.
“Segala keputusan mengenai kuota import Asean yang masih menjadi teka-teki sejak beberapa minggu lalu akan terjawab tidak lama lagi,” jelas Datuk Aminuddin kepada Sinar Harian.
“Presiden KFA akan mengumumkan hasil keputusan pengambilan pemain import itu setelah melalui pertemuan eksekutif,” katanya.
Boaz Solossa merupakan seorang penyerang yang cukup berpengalaman dan digelar sebagai lagenda Persipura Jayapura. Dia memulakan kariernya bersama Persipura Jayapura pada 2004, dan sudah membuat lebih 200 penampilan untuk kelab tersebut sehingga sekarang.
Berita ini sudah tentu akan menggembirakan Ramon Marcote, ketua jurulatih Kedah yang sebelum ini berkata bahawa Kedah memerlukan satu lagi pemain import untuk memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lain.
Pada mulanya, Kedah berminat untuk membawa kapten skuad kebangsaan Vietnam, Nguyen van Quyet ke Alor Setar, namun pemain tersebut akhirnya membuat keputusan untuk kekal bersama Hanoi FC.