Safawi Rasid mungkin menerima peluang untuk beraksi di luar negara selepas seorang pakar bolasepak Asia mendedahkan bahawa dua kelab Korea Selatan sedang memantau situasi pemain tersebut.
Bintang muda Johor Darul Ta’azim itu menjadi penjaring terbanyak Malaysia di kejohanan AFC B-23 baru-baru ini, dan berjaya menarik perhatian ramai sebagai tonggak utama jentera serangan skuad Datuk Ong Kim Swee.
“Dua kelab Korea Selatan berminat dapatkan bintang baru Malaysia, Safawi Rasid. Mereka sanggup melihat Safawi kekal di Malaysia sehingga musim panas akan datang, sebelum berhijrah ke utara [Korea Selatan],” kata John Duerden, melalui akaun rasminya di Twitter.
Duerden merupakan antara penulis bolasepak yang tersohor di rantau Asia dan mempunyai kenalan di kebanyakkan kelab-kelab besar di seluruh Asia.
Berita ini selaras dengan input yang diberikan oleh rakan kami di Football Tribe Korea, Il-Han Ryu, baru-baru ini. Menurut pendapat Han Ryu, Safawi dan Nor Azam Azih adalah dua pemain Malaysia yang paling menyerlah ketika anak buah OKS turun berentap dengan Korea Selatan di peringkat suku akhir.
“Bolasepak di peringkat kelab dan di peringkat antarabangsa cukup berbeza, namun berdasarkan kejohanan ini, saya rasa Safawi Rasid dan Nor Azam Azih adalah dua pemain Malaysia yang mempunyai potensi untuk bermain di luar negara, termasuk Korea. Persembahan, tahap keyakinan dan kreativiti yang ditunjukkan oleh kedua-dua individu ini tidak boleh diperkecilkan,” kata Han Ryu.
Sekiranya Safawi Rasid menerima tawaran rasmi, kami di Football Tribe Malaysia berharap dia akan menyahut cabaran tersebut demi meluaskan kebolehannya sebagai seorang pemain bola sepak!