Liga Super Malaysia

Sathit masih belum puas hati dengan prestasi Ferdinand Sinaga dan Bruno Lopes

Ketua jurulatih Kelantan FA, Sathit Bensoh mendedahkan bahawa dia masih tidak puas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Ferdinand Sinaga dan Bruno Lopes setakat ini, walaupun perlawanan pembuka tirai Liga Super Malaysia semakin hampir.

Kelantan akan berkunjung ke Stadium Hang Jebat untuk bertemu dengan Melaka United pada 3 Januari akan datang dan Sathit mahu melihat dua penyerang importnya meningkatkan kualiti persembahan mereka sebelum itu.

“Kalau ikutkan, saya belum berpuas hati sepenuhnya. Kami masih ada kerja yang perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi prestasi keseluruhan pasukan,” kata bekas jurulatih Bangkok Glass itu, menurut laporan Berita Harian.

“Bruno dan Ferdinand baru saja menyertai pasukan pada Januari. Sudah pasti mereka perlukan masa untuk tingkatkan kombinasi dengan pemain lain termasuk menajamkan lagi sentuhan penyudah,” tambah Sathit.

Musim lepas, Bruno Lopes berjaya menjadi antara penyerang import terbaik di Liga Indonesia dengan 10 gol daripada 29 penampilan bersama Persija Jakarta manakala Ferdinand Sinaga pula meledak 12 kali untuk Persela Lamongan sepanjang 2017.