Datuk Ong Kim Swee berpendapat bahawa kekurangan fokus akhirnya menjadi faktor yang cukup besar dalam kekalahan mereka di tangan Korea Selatan petang tadi.
Skuad Malaysia tewas 1-2 dan menunjukkan persembahan yang cukup baik untuk majoriti perlawanan tersebut. Namun, Korea Selatan berjaya membuka tirai jaringan seawal satu minit selepas sepak mula dan gol kedua mereka juga hadir akibat kelekaan bahagian pertahanan Malaysia pada minit ke-85.
“Apabila kami membolos pada minit pertama, ia jelas menunjukkan kekurangan fokus dan akibatnya, kami dihukum oleh sebuah pasukan yang bagus. Saya harap pemain saya akan belajar daripada kesilapan ini.
“Tetapi secara keseluruhan, pemain saya menunjukkan aksi yang lebih bagus, berbanding dengan kemenangan ke atas Arab Saudi tempoh hari. Kami berjaya mengawal tempo perlawanan selepas membolos pada minit pertama. Malangnya, kami gagal mengekalkan momentum tersebut selepas gol penyamaan.
“Pemain saya memberi aksi yang terbaik tetapi hakikatnya adalah Korea Selatan merupakan antara pasukan terbaik di kejohanan ini. Mereka tidak panik selepas kami menjaringkan gol penyamaan dan akhirnya berjaya mendapatkan gol kemenangan,” tambah OKS.
Keputusan ini bermakna Korea Selatan akan bertemu Uzbekistan di peringkat separuh akhir selepas skuad Rayshan Khaydarov berjaya menumpaskan Jepun 4-0 petang semalam.