Asia AFC U23 Championship

Ong Kim Swee bangga dengan persembahan pemain Malaysia

Datuk Ong Kim Swee berkata bahawa dia bangga dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak buahnya ketika mereka turun menentang Jordan petang semalam.

Malaysia berjaya seri 1-1 dengan Jordan dan hampir boleh memenangi perlawanan tersebut jika percubaan Akhyar Rashid dan Matthew Davies di babak kedua, tidak terkena tiang gol. Dan OKS jelas gembira dengan keputusan tersebut.

“Saya percaya pemain saya menunjukkan karakter yang bagus di atas padang. Sebelum perlawanan ini, tiada siapa yang percaya dalam kebolehan kami untuk mencipta kejutan. Dan pemain saya hampir meraih tiga mata hari ini, jadi saya bangga dengan mereka,” kata OKS, menurut laman web rasmi AFC.

“Kita tidak begitu bernasib baik, walaupun usaha yang saya lihat daripada pemain saya memang bagus. Mereka bekerja keras sepanjang 90 minit tetapi hakikatnya adalah jika kita tidak berjaya menggunakan peluang dengan bijak, kita tidak akan memenangi sebarang perlawanan,” tambah OKS.

Malaysia akan turun menentang Arab Saudi dalam perlawanan terakhir dan harapan Malaysia untuk mara ke peringkat kalah mati masih hidup ketika ini. Sekiranya skuad OKS menewaskan Arab Saudi dan Iraq berjaya meraih tiga mata menentang Jordan, Malaysia akan merangkul slot suku akhir yang cukup bersejarah.