Chelsea dijangka akan melengkapkan perpindahan Ross Barkley dari Everton dalam masa beberapa hari akan datang, menurut pelbagai laporan media di England.
The Blues akan membayar 15 juta pounds untuk mendapatkan pemain tengah yang berusia 24 tahun itu daripada Goodison Park.
Menurut laporan BBC, Barkley sudah menjalani ujian kesihatan bersama Chelsea dan pengumuman rasmi akan dibuat oleh pihak pengurusan Chelsea dalam masa terdekat.
Barkley menyertai Everton ketika dia berumur 11 tahun, sebelum membuat penampilan pertama untuk skuad senior pada tahun 2011. Sejak itu, Barkley sudah membuat 150 penampilan dan meledak 21 gol untuk The Blues.
Dia dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea pada musim panas lalu, namun perbincangan di antara kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat. Sejak insiden tersebut, Barkley tidak membuat sebarang penampilan untuk Everton atas masalah kecederaan.
Namun sekarang, Barkley hampir pulih sepenuhnya dan dijangka akan terus diterapkan ke dalam skuad utama Chelsea selepas perpindahan tersebut dimuktamadkan.