Bintang muda Gamba Osaka, Yosuke Ideguchi dilaporkan akan berhijrah ke England untuk menyertai Leeds United dalam masa terdekat.
Menurut laporan Kyodo News, Leeds dan Gamba Osaka sudah mencapai kata sepakat untuk melengkapkan perpindahan ini. Namun, Ideguchi akan dipinjam ke liga lain di Eropah, sementara menunggu pemain itu layak untuk menerima permit kerja di England.
Yahoo! News Japan pula mendedahkan bahawa Leeds akan membayar 700,000 ribu euros untuk mengaktifkan klausa pelepasan dalam kontrak Ideguchi bersama Gamba.
Ideguchi, salah satu pemain yang tampil dengan persembahan yang cukup cemerlang apabila Johor DT turun menentang Gamba Osaka dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia tahun lepas, menandatangani kontrak professional bersama Gamba pada tahun 2013.
Pada tahun 2016, Ideguchi diberi panggilan skuad kebangsaan Jepun buat kali pertama namun dia hanya berjaya membuat ‘debut’ untuk Samurai Blues pada awal tahun ini. Ideguchi turut berjaya menjaringkan gol pertama di peringkat antarabangsa dalam kemenangan Jepun ke atas Australia pada bulan Ogos lalu.