Santai Malaysia

Ronaldinho bernilai lebih RM500 juta

Ronaldinho dikatakan hanya tertarik dengan bayaran gaji sekitar US$150,000 atau RM618,000 sebulan dan jumlah tersebut adalah berpatutan dengan reputasinya sebagai pemain yang memiliki reputasi hebat selepas memenangi pelbagai kejuaraan di pentas bola sepak antarabangsa..

Tetapi adakah benar Ronaldinho bernilai sebanyak itu atau lebih dari itu meskipun sudah bersara dan bukan lagi salah seorang pemain terbaik dunia?

GAJI

Apa yang perlu diketahui, Ronaldinho telah memperoleh pendapatan yang cukup besar dalam dan luar padang sejak memenangi Piala Dunia 2002 dengan Brazil.

Pendapatannya meningkat selepas berpindah dari PSG ke Barcelona menjelang musim 2003-04 dalam yuran perpindahan sebanyak £25 juta.

Beliau kemudian menyertai AC Milan pada 2008 dengan nilai £18 juta dalam kontrak tiga tahun bernilai £5.1 juta setahun, ditambah dengan £875,000 bonus setahun.

Pada tahun 2011, gaji Ronaldinho jatuh daripada £100,000 seminggu di Flamengo kepada £24,000 seminggu, walaupun berpotensi untuk memperoleh bonus tambahan sebanyak £244,000 setahun. Kontraknya akhirnya ditamatkan berikutan kelabnya tidak dapat membayar gajinya.

Kontrak terakhir Ronaldinho adalah di usia 38 tahun di Fluminense dengan bayaran gaji sekitar £150,000 sebulan ditambah pembayaran selanjutnya dari hak imej, tetapi kontraknya itu juga akhirnya dibatalkan selepas beberapa bulan berada di kelab tersebut.

TAJAAN

Pada tahun 2017, Ronaldinho mengumumkan kerjasama dengan pengusaha Itali, Fabio Cordella di mana mereka melancarkan ‘wain juara’ dengan 11 label minuman yang berbeza, mewujudkan kesebelasan pemain bola sepak yang terkemuka.

Ronaldinho juga pernah bekerjasama dengan beberapa jenama utama, termasuk Nike, Pepsi, Coca-Cola, EA Sports, Gatorade dan Danone.

Pada tahun 2006, setahun selepas Ronaldinho meraih Ballon d’Or, beliau memperoleh lebih daripada $19 juta dolar daripada penajaan, lebih daripada beliau dibayar oleh Barcelona ketika itu.

Namun, beliau mengalami banyak kerugian, selain daripada terpaksa menamatkan kontrak lebih awal, Coca Cola juga menamatkan perjanjian penajaan sebanyak £415,000 setahun selepas beliau bertindak meminum air Pepsi semasa majlis pengenalannya di Atletico Mineiro.

Ronaldinho juga memakai kasut Nike Tiempo R10 sepanjang kontraknya dengan Nike dan muncul dalam pelbagai iklan televisyen, walaupun bayaran keseluruhan tidak didedahkan.

Tidak dilupakan, beliau juga pernah bekerjasama dengan EA, muncul sebagai muka hadapan FIFA 2004, FIFA 06, FIFA 07, FIFA 08 dan FIFA 09.

Beliau juga telah bekerjasama dengan beberapa syarikat yang lebih kecil, termasuk pembekal minuman tenaga, syarikat telefon bimbit, dan dibayar untuk mengiklankan beberapa produk yang berbeza di seluruh saluran media sosialnya, seperti fidget spinners dan kondom.

KEBAJIKAN

Ronaldinho mempunyai peranan rasmi dengan UNICEF iaitu Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sejak Februari 2006 dan kerap muncul dalam Soccer Aid, sebuah program amal untuk mengumpul dana untuk kanak-kanak.

Ronaldinho juga terlibat dalam Program Bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai HIV / AIDS yang ingin menggalakkan kesedaran tentang penyakit tersebut dalam kalangan remaja.

KERETA

Ronaldinho dikatakan mempunyai Lamborghini Aventador hitam dan kuning, Porsche Carerra S berwarna merah dan kuning, Ferrari 458s merah, Audi R8 putih, Audi Q7, Bugatti Veyron, dan Mercedes Mercedes Benz E Class.

Walau bagaimanapun, kenderaan yang paling sering dilihat bersama Ronaldinho adalah Hummer H2.

HARTA

Beliau juga memiliki harta di Brazil, Greece, Barcelona, ​​Lake Como dan Florida selain mempunyai jumlah pengikut di media sosial hampir 85 juta sebagai platform untuk memasarkan produknya.

KESIMPULAN

Jadi secara keseluruhan, Ronaldinho dianggarkan bernilai antara £80 hingga £100 juta iaitu lebih RM500 juta.

Bukan Perak sahaja, kelab-kelab terkemuka dunia pun mungkin terpaksa melupakan hasrat mereka untuk mendapatkan khidmat Ronaldinho.

Gaji Ronaldinho boleh digunakan untuk membangunkan fasiliti dan pembangunan akar umbi serta akademi belia bagi setiap pasukan liga di negara ini sekali gus memberi satu masa depan yang cerah untuk pasukan kebangsaan.