Setahun yang lalu, Ali Gholizadeh hanya seorang pemain yang tidak dikenali. Bagi Gholizadeh, ketika itu impian beraksi untuk skuad kebangsaan Iran cuma satu harapan. Namun, penampilannya bersama Saipa di Liga Pro Iran pada musim ini telah mengubah nasibnya serta-merta. Kini, pemain sayap berusia 22 tahun ini dipanggil pengendali Iran, Carlos Queiroz, untuk Piala Dunia 2018!
Gholizadeh memang cukup tajam setelah mencatat gol pertamanya buat Team Melli, nama timbangan Iran, sewaktu bertemu Sierra Leone. Namun, kebolehannya yang sempurna membuatkan namanya dipanggil Queiroz ke Piala Dunia.
Gholizadeh berasal dari Ardabil, kota di Barat Laut Iran, dimana lahirnya legenda, Ali Daei. Gholizadeh memulakan karier sukannya sebagai pemain futsal, namun mengubah haluan kepada bola sepak pada usia 12 tahun. Bagaimanapun, teknik-teknik yang diraih ketika bermain futsal masih digunakan dengan baik.
Karier bola sepaknya bermula dengan menyertai skuad B-13 Saipa. Dari situ, dia terus menyertai kelompok pemain yang lebih tua dan akhirnya bersama skuad senior. Bagaimanapun, dia sebenarnya mempunyai peluang untuk beraksi di Eropah. Pada 2014, dia menerima tawaran daripada kelab Eredivisie Belanda, NEC Nijmegen. Ketika itu, NEC juga membawa masuk Alireza Jahanbakhsh, bintang bola sepak iran ketika ini tetapi tawaran buat Gholizadeh itu ditolak Saipa.
Akhirnya, Gholizadeh meneruskan perkembangannya bersama Saipa dan menjadi pemain tetap kesebelasan utama pada musim lalu. Diabawah kendalian bekas pengendali Iran, Hossein Faraki, Gholizadeh menunjukkan perkembangan yang cukup bagus. Keyakinan dirinya juga meningkat, malah kadangkala berlebihan. Disebabkan situasi itu, pemain yang lahir pada 10 Mac ini sering dikritik kerana selalu ego ketika memegang bola. Perbandingan dengan Arjen Robben timbul kerana kedua-duanya memiliki teknik yang bagus tetapi sering memegang bola terlalu lama dan ia diakui sendiri oleh Gholizadeh.
“Ya, saya diberikan jolokan tersebut. Namun, saya telah berusaha untuk menyumbang buat pasukan pada musim ini dan yakin telah melakukannya,” kata Gholizadeh.
Penampilan Gholizadeh yang beraksi penuh ego juga tidak terlepas daripada pandangan rakan sekampung, Ali Daei. Daei yang memegang status pengurus pasukan sejak awal musim ini benar-benar memanfaatkan kelebihan Gholizadeh sehingga mengurangkan kelemahannya. Daei dapat melihat Gholizadeh mampu beraksi di pelbagai posisi dengan baik. Hasilnya, tujuh bantuan gol serta enam jaringan dalam saingan Liga Iran ketika ini menjadikannya salah seorang pemain terbaik di liga tersebut.
Hasil usaha Daei, Gholizadeh kni bukan sahaja hebat beraksi di sayap kanan yang merupakan posisi awalnya dalam bola sepak. Kini, dia mampu beraksi di sayap kiri, bahkan bek sayap kiri dan kanan juga mampu diisi Gholizadeh. Kebolehannya dalam banyak posisi ini tentunya sangat berguna untuk Iran di Piala Dunia nanti.
Kali ini, Gholizadeh memiliki pentas untuk menunjukkan kualiti dan bakatnya di mata dunia. Tidak mustahil jika dia tampil hebat di Piala Dunia, perpindahannya akan benar-benar terjadi. Ketika ini, sebuah kelab dari Belgium dilaporkan berminat dengan khidmatnya, namun mungkin juga liga besar menjadi destinasi baru buat Gholizadeh.