Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan denda yang akan dikenakan terhadap pasukan Pahang akibat keputusan mereka untuk tidak bertanding di Piala AFC musim depan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM hari ini, Pahang dilarang daripada memohon lesen AFC untuk dua tahun seterusnya, sekaligus menghancurkan harapan skuad Tok Gajah untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada tahun 2018.
“Walaupun sudah diarahkan oleh FAM melalui surat bertarikh 24 November 2017, (Pahang) melanggar Artikel 14 Status FAM akibat tindakan enggan atau gagal mendaftarkan pasukan untuk bermain dalam Piala AFC 2018,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu.
“Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dilarang memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun iaitu pada 2018 dan 2019 bagi menyertai pertandingan kelab AFC untuk tahun 2019 dan 2020. PBNP juga diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama. Keputusan ini boleh dirayu,” tambah kenyataan tersebut.
Baru-baru ini, Konfederasi Bolasepak Asia mengesahkan bahawa Malaysia akan diberi satu slot ACL untuk tahun 2019 dan 2020. Ini bermakna bahawa juara Liga Super pada tahun 2018 akan layak beraksi dalam peringkat kumpulan ACL pada tahun 2019.
Untuk 2018, Johor DT dijangka menjadi wakil tunggal Malaysia dalam saingan Piala AFC, selepas Pahang menolak tawaran bermain di dalam kejohanan tersebut. Tetapi, sekiranya JDT berjaya melayakkan diri ke peringkat kumpulan ACL, Selangor akan menggantikan slot mereka di Piala AFC.
Misi JDT untuk melayakkan diri ke ACL 2018 akan bermula pada 23 Januari, apabila mereka menentang Muangthong United. Jika mereka berjaya meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut, JDT perlu berkunjung ke Jepun untuk bertemu sama ada dengan Kashiwa Reysol ataupun Cerezo Osaka.
Sekiranya JDT berjaya memenangi perlawanan itu, mereka akan terus dimasukkan ke dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia.