Liga Super Malaysia Berita

Kelantan bakal bawa bekas pemain Man Utd ke Kota Bharu?

Kelantan dikatakan berminat untuk membawa bekas pemain Manchester United, Rodrigo Possebon, ke Kota Bharu untuk musim 2018.

Perkara ini disahkan oleh panel pengurusan kejurulatihan Kelantan, Syed Abdullah Syed Mahmood, walaupun dia turut berkata bahawa perkara ini masih di peringkat awal setakat ini.

“Saya tidak dapat mengesahkan perkara itu cuma apa yang boleh saya katakan, Possebon kini berada dalam radar Kelantan dan kami berminat mengikat pemain itu untuk jangka masa panjang kerana umurnya baru 28 tahun,” kata Syed Abdullah kepada Utusan Malaysia.

“Hanya Presiden KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) Bibi Ramjani boleh mengesahkan sama ada Kelantan benar-benar akan mengambil pemain ini selepas menerima laporan daripada panel pemilihan.

“Panel pemilihan terdiri daripada jurulatih sementara (Sathit Bensoh), Setiausaha Agung (Hus­sin Deraman) dan empat lagi, termasuk saya,” tambah beliau.

Pemain yang berasal daripada Brazil itu memulakan kariernya bersama Internacional di Brazil, sebelum berhijrah ke Manchester United pada tahun 2008, apabila dia berumur 18 tahun.

Dia hanya berjaya membuat tiga penampilan rasmi bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu sebelum membuat keputusan untuk pulang ke Brazil untuk beraksi bersama Santos pada tahun 2010.

Karier Possebon mula jatuh secara mendadak selepas meninggalkan Santos pada tahun 2011. Dia bermain untuk lima kelab berbeza dalam masa dua tahun, sebelum mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia bolasepak.

Namun, dia membuat keputusan untuk kembali bermain bolasepak bersama pasukan URT di Brazil pada tahun 2016, sebelum berpindah ke Passo Fundo pada awal tahun ini.