Bekas pemain kebangsaan Hardi Jaafar berkata bahawa dia mungkin layak menerima Anugerah Puskas untuk gol yang beliau jaringkan dalam aksi separuh akhir Piala AFF pada tahun 2007.
Januari lepas, Faiz Subri mencipta sejarah apabila beliau menjadi pemain Malaysia pertama memenangi Anugerah Puskas dalam sebuah majlis yang dijalankan di Zurich, Switzerland. Namun, Hardi berpendapat bahawa dia mungkin cipta sejarah terlebih dahulu, sekiranya anugerah tersebut diwujudkan dua tahun awal.
“Jika jaringan gol saya itu berlaku pada 2009, mungkin saya berada dalam senarai pendek FIFA tetapi jaringan saya hadir pada 2007. Berlaku terlalu awal, manakala anugerah tersebut belum wujud lagi,” kata beliau kepada Kosmo!
“Benar, jaringan itu benar-benar cukup istimewa bagi saya. Satu memori indah ketika mewakili skuad kebangsaan. Ada yang kata (gol) itu bernasib baik, tuah atau sebagainya tetapi saya tidak peduli apa orang kata kerana saya berusaha kuat untuk menjaringkan gol demi negara.”
Hardi juga jelas berbangga dengan pencapaian Faiz yang sememangnya meletakkan nama Malaysia di pentas global sukan bola sepak.
“Kawan-kawan saya pernah mengatakan kepada saya, jika (anugerah) Puskas itu sudah wujud, mungkin kamu pemenang pertama dari Malaysia dan bukannya Faiz tetapi sebenarnya saya tidak kisah kerana saya sudah cukup berbangga dengan kejayaan Faiz.
“Ini kerana Faiz bukan sahaja membawa dirinya tetapi mewakili Malaysia dan berada di pentas tertinggi bola sepak dunia dengan menunjukkan asal kamu, sekali gus memperkenalkan Malaysia di mata dunia,” tambah Hardi.