Sukan SEA

Thanabalan jadikan bapa sebagai sumber inspirasi

Penyerang Malaysia, N. Thanabalan memberi penghormatan kepada bapanya yang membimbingnya menanduk dalam perebutan bola di udara yang membawa Malaysia ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA 2017.

Thanabalan menjaringkan gol tunggal permainan dalam kemenangan 1-0 ke atas Indonesia di Stadium Shah Alam pada malam Sabtu. Tandukannya ke sudut bawah mengesahkan laluan Malaysia untuk perlawanan pingat emas di mana mereka akan menghadapi juara bertahan, Thailand. Thailand layak ke perlawanan akhir setelah menjaringkan gol masa tambahan ketika menentang Myanmar dan mencatat kemenangan 1-0 di Stadium Selayang.

“Teknik kegemaran saya adalah melalui tandukan. Sejak remaja, kebanyakan gol saya dihasil melalui tandukan di udara,” kata Thanabalan kepada ESPN FC.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ayah saya, bersama dengan jurulatih saya, kerana membantu saya meningkatkan kemahiran ini. Kami berpeluang memenangi pertandingan ini sekarang, dan kita tidak perlu membazirkannya.”

“Saya mempunyai matlamat untuk menjaringkan gol bersama rakan sepasukan saya, yang sentiasa cuba untuk menghantar bola melalui udara. Saya menjangkakan satu lagi hantaran yang bagus dan saya gembira gol itu membawa kami ke final.” katanya.

Penyerang Felcra FC itu menjaringkan gol di hadapan 80,000 peminat di stadium shah alam. Jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee tenang dalam kemenangan, dan menggesa pemainnya supaya tidak kehilangan fokus.

“Belum lagi, para pemain kini perlu memberi tumpuan kepada perlawanan akhir, saya bangga dengan mereka untuk bangkit hingga ke hari ini, dan kami juga tidak mengecewakan,” kata Ong.

“Thailand mungkin telah mengalahkan kami bulan lepas, tetapi perlawanan ini akan berbeza, terutama di depan peminat kami.”

Malaysia sedang memburu pingat emas acara bola sepak sukan SEA di tanah air buat kali pertama sejak 1989.