Luar Negara

Chelsea raih kemenangan kedua berturut-turut

Chelsea menaikkan semangat Antonio Conte menjelang hari-hari terakhir jendela perpindahan selepas gol Cesc Fabregas dan Alvaro Morata memastikan kemenangan 2-0 kelab itu ke atas Everton, sebentar tadi.

Conte mengharungi beberapa minggu kebelakangan ini dalam situasi agak muram berikutan kegagalan Chelsea mengikat pemain dalam sasaran utama mereka.

Malah, dengan jendela perpindahan bakal ditutup minggu depan, bos The Blues itu berharap dapat memperkuat skuadnya dengan menandatangani beberapa pemain baharu.

Penting bagi Chelsea menandatangani kontrak sebelum rehat antarabangsa, untuk terus bersaing dengan Manchester United yang tampak lebih lengkap musim ini.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu meraih tiga mata berharga apabila Fabregas membuka jaringan pada babak pertama di Stamford Bridge sebelum Morata meledak gol kedua.

Anak buah Conte memenangi dua perlawanan berturut-turut selepas dikejutkan Burnley pada hari pembukaan musim ini.

Walaupun Morata menjaringkan gol lagi, penyerang Sepanyol itu perlu bertindak lebih cemerlang ketika Conte sedar betapa Chelsea mengharapkan lebih banyak kejayaan untuk mendapat permintaan tambahan memperkuatkan lagi pasukan. – AFP