Luar Negara

Rooney merajuk dan tak mahu lagi sarung jersi England

Ketika dia mengharungi musim yang suram bersama Manchester United musim lalu apabila jarang diturunkan, bekas kapten itu turut disingkirkan daripada skuad kebangsaan England.Namun sebaik berhijrah ke Everton musim ini dan menjaring dua gol berturut-turut untuk dua perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris, tiba-tiba  pengurus England, Gareth Southgate kembali memanggilnya menjelang perlawanan menentang Malta dan Slovakia.

Namun Rooney membuat kejutan untuk bersara daripada karier antarabangsa bersama England selepas 14 tahun. Rooney menamatkan karier antarabangsanya dengan mengekalkan rekod penjaring gol terbanyak.

Menurut kenyataan yang dibuat penyerang Everton itu, dia mengesahkan tugas sebagai pemain antarabangsa sudah sampai ke penghujung.Rooney berkata, dia menolak panggilan Southgate dan memberi alasan hanya ingin menumpukan perhatiannya kepada Everton.

“Saya sangat menghargainya apabila Gareth Southgate menghubungi saya minggu lalu dan mengajak untuk kembali ke skuad England.”

“Saya telah berfikir panjang dan membuat keputusan sukar dengan memberitahu Gareth untuk bersara di peringkat antarabangsa. Satu keputusan berat dan dibuat selepas berbincang dengan keluarga, pengurus di Everton serta mereka yang rapat dengan saya,” ujar Rooney.

Dalam pada itu, Rooney turut mengakui meninggalkan United juga perkara yang sukar dibuatnya.

“Tetapi kini saya telah membuat keputusan tepat untuk kembali ke Everton. Sekarang saya hanya mahu memberi fokus dan seluruh tenaga kepada mereka,” katanya lagi.

Untuk rekod, Rooney mencatat 119 penampilan untuk England dengan merekodkan 53 gol keseluruhannya dan bergelar kapten sebanyak 22 kali. – MalaysiaGazette