Luar Negara

Indonesia atur perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Portugal

Penyokong Indonesia menunggu keputusan daripada PSSI (Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia) untuk menerima undangan Portugal yang mahu mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan Indonesia. Menurut setiausaha agung PSSI, Ratu Tisha Destria, Indonesia mendapat undangan rasmi untuk mengadakan perlawanan persahabatan daripada Portugal.

Undangan daripada pasukan yang diwakili oleh bintang berkelas dunia, Cristiano Ronaldo itu merupakan satu penghormatan terhadap bola sepak Indonesia. Ratu Tisha mengakui telah menerima email rasmi daripada persatuan bolasepak portugal.

“Kami telah mendapat undangan dari Portugal untuk mengadakan perlawanan persahabatan. Saya sendiri terkejut dan tidak sangka akan menerima email rasmi daripada mereka,” katanya.

Tawaran daripada Portugal itu masih dalam perbincangan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Selain Portugal, beberapa negara lain turut menjemput Indonesia untuk mengadakan perlawanan persahabatan sekitar bulan Oktober 2017.

“Untuk Oktober, kami sudah mempunyai calon dari lima hingga enam negara tetapi  masih  dalam perbincangan. Dua antaranya itu ialah Portugal dan Mauritius,” jelasnya.

Pihak PSSI setakat ini sudah memuktamadkan perlawanan persahabatan menentang Fiji pada bulan september di Stadium Patriot, Kota Bekasi.