Datuk Ong Kim Swee akhirnya menarik nafas lega apabila anak buahnya mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas pasukan Singapore sebentar tadi di Stadium Shah Alam. Kemenangan 2-1 ke atas Singapore ini bermakna peluang Malaysia untuk ke separuh akhir memburu ibu segala pingat emas Sukan SEA semakin cerah dengan 6 mata penuh berjaya dikutip setakat ini.
Pada perlawanan sebentar tadi, Malaysia bermula dengan hambar di separuh masa pertama dan gagal menjaringkan sebarang gol. Barisan tengah yang dikawal oleh Amirul Hisyam dan Syamer Kutty Abba seolah-olah kehilangan idea dan tidak berfungsi dengan baik untuk memecahkan benteng pertahanan Singapore.
Pada minit ke 38, penyokong Malaysia terdiam seketika apabila pintu gol Malaysia yang dikawal oleh Haziq Nadzli bocor menerusi rembatan dari luar kotak penalti, Amiruldin Muhammad Nodin yang terkena tiang sebelum menerjah ke gawang gol untuk memastikan singapore mendahului tuan rumah dengan jaringan 1-0.
Peluang terbaik Malaysia hadir dalam 2 minit sebelum tamat separuh masa pertama menerusi sepakan percuma Safawi Rasid tetapi dinafikan oleh palang ketika penjaga gol Singapore, Zhafran sudah pun tertewas.
Tersentak dengan keputusan di separuh masa pertama, Kim Swee membuat 2 pertukaran di separuh masa kedua dengan memasukan Azam Azih di bahagian tengah menggantikan Amirul Hisyam dan N. Thanabalan menggantikan Syahmi Safari di bahagian sayap kanan.
Pertukaran itu ternyata membuahkan hasil yang lumayan apabila Azam Azih berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 68 apabila rembatan derasnya dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Singapore, Zhafran. Gol Azam Azih itu membangkitkan semangat rakan sepasukan untuk memburu gol kedua dan beliau berjaya mengawal bahagian tengah dengan cemerlang sehingga Malaysia berjaya memperoleh gol kedua melalui N. Thanabalan yang mengambil peluang daripada bola muntah pada minit ke 74.
Singapura cuba bangkit memburu gol penyamaan namun mereka gagal melepasi benteng pertahanan Malaysia sehingga wisel penamat.
Malaysia akan berehat selama 4 hari dan dijadualkan menentang Myanmar pada hari Isnin depan, juga di Stadium Shah Alam sebelum menamatkan persaingan peringkat kumpulan menghadapi Laos pada hari Rabu.