Berita

Lantik Perunding Ranking, Satu Langkah Tepat Oleh FAM?

Langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggunakan perunding bagi memperbaiki ranking skuad Harimau Malaya disifatkan sebagai tindakan yang tepat dan kena pada masanya.

Sokongan itu dilontarkan oleh bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad yang melihat kemasukan perunding berkenaan mampu memberi dimensi baru terhadap pengurusan pasukan kebangsaan dan dijangka dapat membantu memberi hasil positif bagi meningkatkan lagi ranking Harimau Malaya.

“Ranking skuad kebangsaan adalah amat penting kerana ia menggambarkan kualiti bola sepak kita. Ia dikira berdasarkan beberapa formula membabitkan susunan perlawanan yang dibuat untuk setahun.

“Sebenarnya, perkara ini sudah dibuat sebelum ini namun tidak berjaya atas beberapa kekangan. Jadi, dengan kemasukan perunding itu mereka boleh membantu untuk menentukan susunan perlawanan yang terbaik untuk skuad kebangsaan meraih mata bagi meningkatkan ranking.

“Mereka juga memberi pandangan secara luar kotak fikiran mengenai apa yang perlu dilakukan tetapi FAM perlu ada pendirian untuk menentukan hala tuju terhadap pandangan yang dikeluarkan.

“Apapun, saya melihat ini satu usaha yang baik oleh FAM namun apa yang penting, FAM perlu memastikan ada peningkatan dalam ranking supaya apa yang dilakukannya tidak sekadar sia-sia dan tidak menunjukkan hasil,” katanya kepada BH Sukan.

BH Sukan semalam melaporkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataannya kelmarin menyatakan pihaknya bersedia untuk melantik perunding seperti yang dilakukan pasukan bola sepak India bagi membantu memperbaiki ranking skuad Harimau Malaya.

Ia diputuskan susulan kejatuhan ranking skuad kebangsaan sebanyak 12 anak tangga daripada kedudukan ke-155 kepada ke-167 dalam kemaskini ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Perkara ini dilihat berpunca daripada kekalahan 1-2 di tangan Lubnan pada aksi kelayakan Piala Asia 2019, 13 Jun lalu.

Sumber: Berita Harian