Tarik Diri Dari Liga M – Sedarkah Persatuan Bola Sepak Akan Akibatnya?

malaysia-qu-puteh-football-2

Mutakhir ini, kita dihidangkan dengan berita kurang menyenangkan apabila tiga pasukan negeri menyatakan hasrat untuk menarik diri dari menyertai saingan Liga Malaysia kerana dibelenggu dengan masalah kewangan serius.

Pada ketika Kelantan sudah berpatah arang, berkerat rotan selepas kekeringan dana ekoran perbelanjaan tidak berhemah serta kelemahan pengurusan, Perlis dan Selangor pula menyatakan hasrat sama untuk tidak bersaing pada musim baru nanti.

Perlis yang sudah diketahui ditimpa pelbagai masalah sehingga jatuh merudum, tetapi berita dari Selangor menyatakan untuk bertindak sama seperti Kelantan dan Perlis adalah sesuatu yang mengejutkan.

Kita tahu kesemua mereka ini dilanda pelbagai masalah dalaman namun mengugut untuk menarik diri adalah satu tindakan tidak bijak dan memalukan arena bola sepak tanah air.

int_160512_selangor_fa_in_crisis

Mereka juga perlu sedar untuk menarik diri, mereka akan menerima banyak impak buruk bukan sahaja kepada persatuan malah sukan bola sepak negeri itu sendiri.

Bagaimana penerimaan penyokong mereka bila mana sukan nombor satu kegemaran rakyat tidak dapat diadakan dek pemikiran singkat persatuan untuk keluar dari masalah yang melanda.

Usah kita bincangkan penerimaan, menarik untuk kita kongsikan disini ialah implikasi yang akan Kelantan, Perlis dan Selangor terima jika tindakan untuk tidak menyertai Liga terus menjadi agenda utama persatuan masing-masing.

Sebelum ini, kita telah dimaklumkan sejelas-jelasnya menarik diri dari Liga Malaysia akan menyebabkan pasukan tersebut bakal menerima padah termasuklah digantung selama beberapa tahun dari bermain dalam perlawanan anjuran FMLLP dan FAM.

Pengantungan ini memberi impak yang cukup besar bukan sahaja buat pasukan itu sendiri malah kepada pemain-pemain mereka yang telah dan masih mempunyai baki kontrak. Dalam masa singkat, bagaimana pemain-pemain ini mahu mencari pasukan baru sedangkan persiapan pasukan lain sudah mencapai 80 hingga 90 peratus.

Lihat sahaja pasukan yang menarik diri sebelum ini seperti KL Plus, Kuala Muda Naza, MPPJ Selangor, TM Melaka serta banyak lagi, apa jadi dengan pemain mereka. Ternyata ia akan membunuh karier pemain itu sendiri selain meletakkan pemain dalam situasi buntu ekoran mata pencarian utama mereka tersekat dek tindakan membuta tuli persatuan dan kelab.

Selain itu, jika mereka ingin kembali ke saingan pada musim-musim akan datang, mereka tidak lagi mempunyai keistimewaan beraksi di pentas tertinggi yakni mereka perlu bermula dari liga FAM dan ia pastinya bukan satu pilihan yang dimahukan oleh para penyokong.

Bila beraksi di saingan kelas ketiga, jangan harap mereka akan menerima kehadiran pemain berwibawa malah untuk naik kembali ke divisyen atas adalah cukup sukar kerana penswastaan Liga Malaysia akan menyaksikan banyak pasukan mula membina skuad termantap seterusnya cuba merebut tempat ke Liga Perdana dan Liga Super.

Begitu juga dari segi kehadiran penyokong, stadium pastinya tidak penuh dan ia secara tidak langsung akan mengurangkan pendapatan pasukan setiap bulan.

Lihat sahaja contoh Kelantan pada tahun 2005, kehadiran penyokong adalah sangat kurang pada permulaan liga FAM. Penyokong juga mengangkat banting dan sepanduk mahukan harga tiket diturunkan kerana beraksi di divisyen bawah.

Padahal pada waktu itu, Sang Kijang berhasil membina skuad terbaik sehingga menjuarai Piala FAM serta berjaya mengejutkan beberapa pasukan bintang dalam saingan Piala Malaysia.

download

Impak paling besar yang akan diterima setiap pasukan yang menarik diri pastinya mereka akan tercicir dari menyertai pertandingan tertinggi seperti Piala FA dan Piala Malaysia kerana peraturan baru dari FMLLP seterusnya merugikan pasukan bola sepak itu sendiri.

Kelantan, Selangor dan Perlis perlu berfikir panjang sebelum meletakkan kedudukan mereka pada tempat itu kerana kesemua pasukan ini mempunyai legasi dan sejarah masing-masing. Kesemua pasukan ini adalah antara gergasi Liga Malaysia sejak era profesional dan ketiadaan mereka bersaing pasti merencatkan liga itu sendiri.

Google sahaja di internet, nama-nama pasukan ini adalah pasukan terbaik dan semestinya deretan piala yang telah dimenangi sebelum ini bukan untuk disimpan dalam lipatan sejarah.

Kita harap pihak persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) merenung kembali sejarah pasukan masing-masing sebelum bertindak menarik diri dan memikirkan dengan sejelas-jelasnya implikasi yang akan mereka terima nanti.