Berita

Datuk Wan Ahmad Nizam Tetap Dengan Pendirian Untuk Lepaskan Jawatan Presiden PBSNT

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid  tetap dengan pendirian untuk lepaskan jawatannya berikutan kegagalan skuad Penyu mara ke saingan suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini setelah tewas kepada Negeri Sembilan, 1-0, pada Selasa lalu.

‎Kekalahan itu secara tidak langsung  dilihat menutup peluang buat skuad kendalian Mustafa Kamal Abd Wahad yang kini hanya meraih satu kemenangan dan tiga kekalahan dalam empat perlawanan diharungi dengan berbaki dua  lagi saingan.

Wan Ahmad Nizam berkata, dia bersedia untuk mengotakan janjinya melepaskan pucuk pimpinan tertinggi bandan induk bola sepak negeri Terengganu untuk memberi laluan kepada muka  baharu menerajui PBSNT.

datuk wan1

“Saya tetap akan kotakan janji saya untuk letak jawatan sebagai Presiden PBSNT. Jangan risaulah, saya seorang gentleman dan saya  akan undur diri, biar orang lain puas hati.

“Sebagai Presiden PBSNT, saya sedia ambil risiko itu (letak jawatan), saya tak ada masalah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam yang juga bertindak selaku pengurus pasukan Terengganu mengakui turut kecewa apabila semua pihak  asyik menuding jari kepadanya dan juga pengurusan di atas kemerosotan Skuad Penyu dalam mengharungi  kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Katanya, pasukan Terengganu dibelenggu pelbagai masalah musim ini termasuklah  kecederaan ramai tonggak utama dan kekangan kewangan yang sedikit sebanyak turut mengganggu perbelanjaan pasukan.

“Apa yang saya lihat, pemain sudah berusaha dan bekerja keras untuk kembali bangkit melakarkan kejayaan bagaimanapun mereka  gagal memperoleh kejayaan.

image

“Jadi, sebagai orang nombor satu dalam persatuan maka saya bertanggungjawab di atas kegagalan pasukan dan akan meletak jawatan sebagai presiden sebagaimana yang saya umumkan sebelum ini,” katanya.

Ditanya peluang Terengganu untuk melangkah ke suku akhir dengan dua baki perlawanan,  Wan Ahmad Nizam mengakui hanya keajaiban sahaja yang mampu  dijelmakan pemain pada pertemuan menentang Felda United dan Melaka United (MU).

“Sememangnya kita masih mengharapkan pasukan Terengganu mampu melepasi saingan peringkat kumpulan, tetapi itu bukan  satu kerja mudah kerana perlu melepasi halangan Felda United dan Melaka United,” katanya.

kredit artikel: Zubir Ismail –  Sinar Harian