Malaysia

Khairul Fahmi Tidak Dibenarkan Ke Luar Negara Kerana Masalah LHDN?

13422463_993352870761477_8484432894488874478_oPenjaga gol kebangsaan dan juga pasukan The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat, dikatakan gagal melepasi pemeriksaan imigresen KLIA2 ketika mahu berlepas bersama skuad kebangsaan ke jelajah Ocenia minggu lalu.

Kegagalan itu dipercayai berkait rapat dengan urusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) – mungkin atas faktor kegagalan membayar cukai pendapatan atau mempunyai tunggakan bersama agensi kerajaan itu.

Menurut Nadi Arena pula, mereka berjaya mengubungi Apek bagi mendapat penjelasan, namun tiada sebarang komen dibuat mengenai perkara itu.

“Saya tidak dapat memberi komen apa-apa, sebenarnya tiada masalah atau sebarang isu pun tetapi selebihnya kena tanya pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” ujarnya.

Sementara itu, pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, turut enggan mengulas lanjut mengenai ketiadaan Apek.

“Biar saya berbincang dahulu dengan Setiausaha FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, sebarang penjelasan saya akan maklumkan nanti,” jelasnya.

 

Menurut Akta LHDN

Maklumat yang benar dan sahih mengenai Sekatan Perjalanan Keluar Negara yang dikeluarkan oleh LHDNM adalah seperti berikut:

1. Sekatan Perjalanan Keluar Negara merupakan tindakan rutin yang diambil oleh LHDNM terhadap pembayar cukai yang ingkar melalui peruntukan Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.

2. LHDNM hanya akan mengeluarkan dan menguatkuasakan Sekatan Perjalanan Keluar Negara ini sekiranya kami mendapati pembayar cukai masih gagal menjelaskan tunggakan Cukai Pendapatan atau Cukai Keuntungan Harta Tanah mereka walaupun proses pemungutan tunggakan cukai telah dilaksanakan. Antara proses pemungutan yang dilakukan sebelum sebarang Sekatan Perjalanan Keluar Negara dikeluarkan dan dikuatkuasakan ke atas pembayar cukai ialah seperti berikut:

  1. Surat Pemberitahuan Kenaikan/Penalti Cukai Lewat Bayar di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan;
  2. Notis Tunggakan Cukai;
  3. Peringatan melalui panggilan telefon oleh Pusat Panggilan LHDNM;
  4. Surat Pemberitahuan Tindakan Mahkamah.

3. Sebagai makluman dan rekod pembayar cukai, mereka akan menerima satu salinan Surat Sekatan Perjalanan yang diposkan ke alamat surat-menyurat mereka yang berdaftar dengan LHDNM. Satu salinan surat sekatan tersebut turut akan dimajukan kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), manakala satu salinan lagi akan disimpan dalam fail cukai pembayar cukai di LHDNM.

4. Sekatan Perjalanan Keluar Negara ini hanya berkuatkuasa di pintu keluar antarabangsa sahaja. Ini bermaksud, pembayar cukai yang dikenakan sekatan ini masih bebas mengatur perjalanan mereka dalam negara (domestik) antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Walau bagaimana pun, kita perlu menunggu pengesahan rasmi dari pihak berkenaan mengenai sebab sebenar mengapa Khairul Fahmi tidak bersama skuad negara dalam jelajah Ocenia ini.