Luar Negara

Ketiadaan Messi mengundang kemarahan peminat dari Singapore

Bintang bolasepak dunia dari Argentina, Lionel Messi tidak akan menyertai skuad kebangsaan Argentina untuk aksi perlawanan persahabatan dengan pasukan Singapore pada hari selasa ini. Ketiadaan Messi menyebabkan ribuan peminat Singapore rasa tertipu dengan pihak penganjur yang sering mempromosi perlawanan tersebut dengan menggunakan nama pemain bintang.

Laporan akhbar dari Argentina (Clarin) pada 8 Jun menyebut Lionel Messi terpaksa menolak untuk menyertai skuad kebangsaan kerana sibuk melakukan persiapan dan dijadualkan akan melangsungkan perkahwinan pada 30 Jun ini dengan teman wanitanya, Antonella Rocuzzo.

Lionel Messi bersama teman wanitanya, Antonella

Laporan akhbar dari Argentina itu turut menyebut pemain pertahanan Manchester City, Nicholas Otamendi turut tidak akan menyertai skuad ke Singapore kerana beliau juga akan melangsungkan perkahwinannya bulan ini.

Berita itu kemudian disahkan oleh jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli semasa satu sidang media di Melbourne pada pagi Khamis , di mana Argentina pada masa ini mengadakan perlawanan persahabatan menentang Brazil pada hari Jumaat.

“Otamendi and Messi dibenarkan bercuti selepas perlawanan itu, kerana mereka akan berkahwin. Jadi ia telah pun dirancang bahawa mereka akan berlepas pulang selepas perlawanan menentang Brazil,” kata Sampaoli.

Peminat bola sepak Singapore, terutamanya mereka yang membeli tiket hanya untuk menonton Messi semata-mata ternyata amat terkejut dengan berita itu. Mereka berasa tertipu dengan pihak penganjur.

Ini adalah kerana pihak penganjur mengesahkan penyertaan Messi malah sehingga jumaat lepas, menyatakan dalam satu siaran media bahawa satu skuad Argentina termasuk Lionel Messi, Angel Di Maria dan Gonzalo Higuain akan dibawa ke Singapore untuk perlawanan persahabatan.

Tiket perlawanan Singapore menentang Argentina diletak pada harga  S$40, S$78, S$138, S$188.

Salah seorang peminat, Muhammad Hamzah, berkata: “Saya membeli tiket untuk perlawanan ini kerana saya fikir Messi akan datang. Harga tiket tidak murah, sudah tentu saya sedih dan kecewa apabila mengetahui dia mungkin tidak akan datang.”

Walaupun pasukan Argentina yang sedang dalam perjalanan ke Singapura tetap akan menonjolkan bintang lain seperti Javier Mascherano, Gonzalo Higuain dan Angel Di Maria, tetapi itu masih tidak mampu mengubat kekecewaan peminat sana.

“Pemain-pemain yang lain dalam pasukan Argentina bintang dunia juga , tetapi mereka bukan Messi,” katanya.

Peminat-peminat Singapore didedahkan dengan berita ketiadaan Messi lebih kurang daripada seminggu sebelum perlawanan.