Menjelang jendela perpindahan kedua, banyak pasukan sudah mula merancang melakukan rombakan pemain. Masalah prestasi dan kecederaan di awal musim menyaksikan beberapa kelab sudah mula merancang memperkuat pasukan.
Terbaru, pasukan Kuala Lumpur dikhabarkan mahu mencari pemain import baru bagi menggantikan pemain Brazil, Junior Aparecido yang kurang efektif dan dilihat tidak banyak membantu pasukan.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa dalam satu temuramah bersama Astro Arena berkata bahawa KLFA kecewa dengan prestasi Junior tetapi mereka akan menamatkan kontraknya dengan cara yang betul pada jendela perpindahan kedua nanti.
Junior sebelum ini pernah beraksi bersama Selangor pada 2014 dan Sarawak pada tahun 2016. Pemain kelahiran Sao Paulo Brazil ini juga antara pemain ‘import’ yang dibawa Fabio Magrao ketika dia menjadi ketua jurulatih Timor-Leste.
Setakat ini masih belum diketahui siapakah pemain import yang menjadi sasaran KLFA bagi menggantikan Junior.
Adakah pemain di bahagian serangan akan dibawa masuk bagi menambah bisa serangan skuad City Boys bagi membantu dua pemain import mereka Guilherme De Paula dan Paulo Josue? Atau mungkinkah mereka akan membawa masuk pemain yang lebih berperanan untuk bertahan bagi memberikan perlindungan kepada Paulo Josue bersama Irfan Zakaria?