Kajian & Analisis Malaysia

10 sumbangan TMJ terhadap bolasepak Malaysia sejak menjadi Presiden FAM

Baru-baru ini, penyokong bolasepak di seluruh Malaysia dikejutkan dengan berita keputusan Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim untuk meletak jawatan sebagai Presiden FAM.

Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin kemudiannya menjelaskan bahawa kenyataan Tunku Ismail bukanlah tanda perletakan jawatan, tetapi lebih kepada luahan kekecewaan terhadap kritikan netizen.

Namun begitu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Ismail itu masih memberi impak yang besar terhadap naratif bolasepak di Malaysia, dan pelbagai individu dan pihak relevan telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk meminta TMJ supaya mempertimbangkan keputusan untuk meletak jawatan.

Hakikatnya adalah, khidmat Tunku Ismail masih diperlukan jika bola sepak Malaysia mahu terus berada di landasan yang cukup positif. Dalam masa satu tahun, TMJ sudah berjaya melakukan beberapa perubahan yang drastik untuk membantu merevolusikan bolasepak Malaysia – cuba bayang apa yang boleh dilakukan olehnya dalam masa tiga atau empat atau lima tahun?

Berikut adalah 10 sumbangan TMJ terhadap bolasepak Malaysia sejak dilantik menjadi Presiden FAM:

MEROMBAK STAF FAM

Ini antara perkara paling utama dan terawal yang telah dilakukan oleh Tunku Ismail. Ramai peminat bolasepak tempatan inginkan rombakan dalam FAM sejak dulu lagi dan akhirnya ia terjadi. TMJ memulakan langkah dengan mengecilkan saiz staf kejurulatihan dan pentadbiran FAM dengan memecat 20 orang kakitangan. Langkah ini diambil bagi mengawal dan menjaga kewangan FAM daripada pembaziran. Antara yang turut terlibat adalah jurulatih bawah 23 tahun Malaysia ketika itu, Frank Bernhardt yang jawatannya diberikan kepada Datuk Ong Kim Swee.

MENCETUS KEJAYAAN SKUAD BAWAH 23 TAHUN

Dengan pemecatan Frank Bernhardt, Datuk Ong Kim Swee kembali ke jawatan asalnya sebagai jurulatih skuad bawah 23 tahun negara. Nampaknya langkah yang diambil TMJ sememangnya tepat apabila Datuk Ong Kim Swee berjaya membawa skuad muda negara layak ke Piala AFC bawah 23 tahun dan mara ke perlawanan akhir Sukan SEA.

Di kejohanan Piala AFC bawah 23 tahun pada Januari lalu, skuad muda negara membuat kejutan apabila berjaya mara ke pusingan seterusnya dengan menewaskan Arab Saudi dalam perlawanan penentuan peringkat kumpulan. FAM juga dikhabarkan mahu membida untuk menjadi tuan rumah Piala AFC Bawah 23 tahun yang akan datang bagi merebut slot empat pasukan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

PERJANJIAN DENGAN IFLIX

Perjanjian penyiaran dengan Iflix adalah antara perkara paling menarik yang pernah berlaku dalam bolasepak tempatan. Setelah lama peminat mendambakan siaran langsung untuk setiap perlawanan, akhirnya impian mereka tercapai. Perjanjian ini menyaksikan pembukaan saluran Football Malaysia di platform iflix, sekaligus membolehkan peminat bolasepak tempatan menyaksikan perlawanan Liga Super, Piala Malaysia dan sebilangan aksi Piala FA pasukan kesayangan mereka di mana sahaja.

MENGETATKAN PROSES PEMBERIAN ‘CLUB LICENSING’

Sejak TMJ mengambil alih FAM dan juga FMLLP, semua pasukan di tanah air dipaksa mematuhi peraturan yang ketat berkenaan ‘club licensing’. Jika sebelum ini kebanyakkan kelab tidak mempunyai insentif untuk memastikan bahawa mereka mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh FAM, era baharu yang dibawa oleh TMJ menyaksikan beberapa kelab diberi hukuman pemotongan mata, dan juga penyingkiran ke divisyen kedua. Cuba tanya Kelantan dan FELDA United.

MEMBUKA PINTU KEPADA PASUKAN KOMUNITI MELALUI LIGA M4 & M5

Buat kali pertama tahun ini, kita berjaya melihat beberapa kelab amatur dan kelab komuniti bertanding di pentas Piala FA, sekaligus membuka pintu kepada arena bolasepak komuniti di Malaysia untuk membina hubungan dengan struktur yang disediakan oleh FAM dan FMLLP. Selain itu, TMJ juga memainkan peranan yang besar dalam proses penubuhan M4 dan M5, dua lagi divisyen bola sepak yang akan dilancarkan secara berperingkat mulai bulan April atau Mei.

MEMBINA PLATFORM KOMUNIKASI YANG LEBIH TELUS

TMJ telah menjadikan FAM dan FMLLP lebih telus sebagai sebuah badan organisasi. Selain menganjurkan beberapa sesi ‘open discussion’ bersama peminat bola sepak Malaysia, TMJ juga kerap mengeluarkan kenyataan melalui laman rasmi Facebook FAM dan juga FMLLP, untuk memastikan bahawa pengurusan kedua-dua badan boleh berkomunikasi dengan penyokong secara telus. Setakat ini, dua mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM telah diadakan di dua negeri berbeza, iaitu Terengganu dan Kota Kinabalu

MENINGKATKAN NILAI KOMERSIL LIGA-M

Di bawah kepimpinan TMJ, FMLLP telah berjaya meningkat nilai komersial Liga-M, sehingga berjaya menarik masuk beberapa penaja yang besar, seperti TM dan juga Shopee, yang kini menjadi penaja Piala FA. iflix juga menjadi sebahagian daripada persetujuan ini, dan selain menyediakan platform untuk penstriman secara langsung perlawanan Liga Super, mereka turut bersetuju untuk melaburkan RM300 juta sepanjang enam tahun seterusnya, untuk membina konten-konten menarik berkenaan Liga-M.

PENINGKATAN GERAN TAHUNAN

Baru-baru ini, TMJ mengumumkan bahawa setiap pasukan yang bertanding di Liga Super dan Liga Premier akan menerima geran sebanyak RM1 juta hingga RM3 juta. Peningkatan ini sedikit sebanyak akan membantu situasi kewangan pasukan-pasukan tersebut, dan memberi peluang kepada pihak pengurusan untuk melangsaikan hutang-hutang mereka. Selain itu, FMLLP juga akan mengagihkan segala keuntungan daripada penjualan hak penyiaran kepada pasukan-pasukan yang bertanding dalam bulan-bulan yang akan datang.

JALIN KERJASAMA DENGAN LA LIGA

Bulan Januari lepas, FMLLP melakar sejarah apabila memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama La Liga untuk membantu membina blueprint 50 tahun untuk bola sepak di Malaysia. Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Tunku Ismail, selaku pengerusi FMLLP dan juga Oscar Mayo Pardo, selaku Pengarah Pembangunan Antarabangsa La Liga. Baru-baru ini, presiden La Liga, Javier Tebas turut melawat Johor Bahru untuk mengadakan perbincangan bersama Tunku Ismail berkenaan cara-cara untuk meningkatkan kerjasama di antara kedua-dua pihak dalam masa terdekat.

MENGHANTAR OKS DAN BRAD MALONEY KE SEPANYOL

TIdak lama selepas skuad bawah-23 tahun Malaysia berjaya melakar sejarah di China, Tunku Ismail membuat keputusan untuk menghantar Datuk Ong Kim Swee dan juga Brad Maloney ke Sepanyol, untuk berguru bersama Atletico Madrid. Mereka berlepas ke Sepanyol pada hujung bulan lepas, dan dijangka akan kembali ke tanah air pada 25 Mac ini. Pengalaman tersebut sudah tentu akan membantu Kim Swee membina skuad yang mantap untuk Sukan Asia, yang dijadualkan berlangsung di Indonesia pada bulan August ini.