Luar Negara Eropah

Everton mahu Jack Wilshere berhijrah ke Goodison Park?

Selepas khabar Arsenal akan kehilangan Hector Bellerin, kini giliran seorang lagi pemain mereka akan dipancing oleh kelab lain. Tidak lama selepas Alexis Sanchez ke Manchester United, nampaknya kini giliran Jack Wilshere pula yang akan berpindah ke kelab Liga Perdana Inggeris.

Everton dikhabarkan akan mengambil peluang menandatangani Wilshere secara percuma selepas pemain tersebut masih belum menandatangani kontrak baru bersama The Gunners.

Wilshere dikhabarkan masih menunggu tawaran lebih baik dari Arsenal selepas menolak tawaran kontrak baru sebelum ini yang akan menyebabkan gajinya dipotong.

Kelab Merseyside itu benar-benar mahukan Wilshere dan bersedia memberikan kontrak lumayan kepada pemain yang berasal dari Akademi Arsenal itu. Buat masa ini, Everton mempunyai ramai pemain tengah seperti Tom Davies, Morgan Schneiderlin. Gylfi Sigurdsson, Davy Klaassen dan Idrissa Gueye.

Everton bersedia untuk melakukan rombakan besar-besaran musim hadapan selepas bergelut pada musim ini walaupun telah berbelanja besar membawa masuk pemain-pemain baru.

Jika perpindahan ini terjadi, Wilshere bakal bergabung kembali dengan rakan sepasukannya, Theo Walcott yang berpindah ke Everton pada jendela perpindahan Januari yang lalu. Tetapi adakah dia akan beraksi di bawah Sam Allardyce atau tidak, belum tentu lagi kerana nasib bekas pengurus England itu masih samar-samar selepas Everton menunjukkan prestasi teruk.