Malaysia Berita

Malaysia jumpa India pada November ini

Skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente akan menentang pasukan India pada Selasa, 19 November 2024.

Venue dan waktu sepak mula perlawanan akan dimaklumkan selepas ia dimuktamadkan oleh pihak tuan rumah iaitu Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).

Perlawanan tersebut bakal berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA, 11 hingga 19 November 2024 yang mana FAM juga pada ketika ini masih sedang mengesahkan satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang satu lagi pasukan lain dalam tempoh berkenaan.

Kali terakhir Malaysia bertemu India ialah pada 13 Oktober 2023 untuk perlawanan Pestabola Merdeka 2023 yang mana skuad Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Kim Pan Gon mencatat kemenangan 4-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malaysia turut pernah bertandang ke India bagi siri dua perlawanan persahabatan menentang negara tersebut pada 2011 yang mana skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K. Rajagobal ketika itu seri 1-1 pada aksi pertama di Guwahati dan tewas 3-2 pada aksi kedua di Kolkata.

Berdasarkan kemas kini ranking terbaharu FIFA pada 19 September lalu, India kini berada di kedudukan ke-126 dunia, enam anak tangga dibezakan dengan Malaysia di kedudukan ke-132 dunia.