Liga Super Malaysia Berita

Kelantan diberi peluang terakhir langsaikan tunggakan gaji

10 kelab berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan manakala tiga lagi kelab diberikan Lesen Kebangsaan berserta hukuman menyaksikan mereka layak bertanding dalam saingan Liga Super 2024-2025.

Bagaimanapun status Lesen Kebangsaan bagi Kelantan ditangguhkan sehingga Disember 2023.

Bagi musim 2024-2025, sepuluh kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan adalah JDT, Perak, Sri Pahang, Selangor, Terengganu, Penang, Kuching City l, Kedah, Negeri Sembilan dan PDRM.

Bagaimanapun, tiga kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan berserta hukuman adalah Kuala Lumpur City, Kelantan United dan Sabah iaitu denda RM20,000 atas kesalahan melakukan deklarasi yang salah.

“Walaupun Kelantan tidak memiliki rekod tunggakan gaji pemain dan pegawai pada 30 Jun namun didapati memiliki tunggakan gaji di dalam deklarasi 31 Ogos,” kata Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, Pengerusi Pelesenan Kelab MFL FIB.

“Justeru, sebagai langkah pertama, FIB mengarahkan Kelantan FC untuk menyelesaikan bayaran tunggakan atau menyerahkan persetujuan bersama pemain dan pegawai pada 15 November 2023.

“Namun setelah tarikh akhir 15 November 2023, pihak FIB tidak menerima sebarang bukti bayaran ataupun persetujuan bersama permain dan pegawai sebaliknya hanya menerima rayuan lanjutan masa.”

Katanya, hukuman pertama yang dikenakan kepada Kelantan adalah denda sebanyak RM20,000 atas kesalahan tidak mematuhi tempoh masa FIB.

“Pihak FIB memberikan peluang terakhir sehingga 30 November untuk menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos ataupun persetujuan bersama pemain dan pegawai kelab.

“Sekiranya Kelantan telah menyelesaikan langkah pertama, Kelantan masih perlu menyelesaikan langkah kedua untuk menerima Lesen Kebangsaan.

“Namun, jika gagal di peringkat langkah pertama, Kelantan secara automatik tidak akan menerima Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025.”

Katanya, FIB juga mengambil keputusan untuk memberikan hukuman kedua kepada Kelantan dengan sekatan perpindahan MFL sehingga semua kes tempatan dan asing diselesaikan sepenuhnya.

“Kelantan perlu menghantar surat deklarasi yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan sehingga 30 November beserta penyelesaian untuk kes-kes yang mempunyai keputusan FIFA dan FAM sebelum 31 Disember 2023.”

Mesyuarat Pelesenan Kelab MFL FIB kali ke-6 yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif telah diadakan pada 18 Oktober 2023 namun FIB mengambil sedikit masa untuk menyemak dokumen-dokumen sebelum membuat keputusan pada 22 November 2023.

Bagi membolehkan pasukan diberikan lesen, mereka perlu dinilai dan mematuhi enam kriteria utama iaitu; Sukan, Infrastruktur, Kakitangan & Pentadbiran, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Lesen Kebangsaan yang diberikan sah untuk satu musim sahaja iaitu sepanjang musim 2024 – 2025.

Mengikut sub-kriteria kewangan F.04 Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023, proses pelesenan mengambil kira tarikh deklarasi kewangan pertama iaitu sehingga 30 Jun.

Berikutan tempoh masa ini, FIB akan menyemak kedudukan kewangan kedua kelab-kelab itu sehingga 31 Ogos selaras dengan sub-kriteria Kewangan F.011 Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Ini dilakukan untuk memastikan hutang kelab yang mungkin berlaku antara tarikh deklarasi akhir pertama dan kedua. Ini dilakukan melalui deklarasi-deklarasi rasmi kelab yang akan disemak oleh FIB.

Dengan ketetapan tarikh akhir ini, MFL juga meminta setiap kelab menyerahkan surat deklarasi yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang kelewatan atau tidak membayar gaji, KWSP, LHDN, Perkeso dan EIS sehingga 30 November kepada MFL selewat-lewatnya pada 15 Disember 2023 selaras dengan sub-kriteria Kewangan F.09, menjelang Liga Super musim 2024-2025.

Dalam pada itu, 7 Kelab dari MBSB Championship (Amateur Football League, M3) terdiri daripada Imigresen FC, KL Rovers, Harini Selangor, Armed Forces, Perlis United, Melaka dan Sarawak United l telah memohon lesen kebangsaan “Extraordinary” bagi kitaran pelesenan tahun 2023 untuk Lesen Kebangsaan Liga Super musim 2024 – 2025.

Namun begitu, kesemua 7 kelab tersebut tidak diberikan Lesen Kebangsaan selepas keputusan yang telah dibuat pada FIB Kali Ke 7 pada 31 Oktober 2023.