MFL membuat keputusan untuk memotong dana hak penyiaran Sarawak United sebanyak RM100,000 dan dana itu digunakan untuk membayar tunggakan gaji pegawai dan pemainnya.
Ini setelah Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan bahawa pemain pasukan itu masih belum menerima bayaran gaji selama 4 bulan.
“Barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL bersetuju sebulat suara untuk mengambil tindakan segera memotong dana hak penyiaran Sarawak United sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai yang mengalami masalah tunggakan gaji,” kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.
“Pembayaran kepada pemain Sarawak United yang terlibat akan disalurkan oleh PFAM.”
MFL turut memberi tempoh selama 14 hari kepada Sarawak United untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji tersebut.
“MFL mengarahkan Sarawak United untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh 14 hari berkuatkuasa hari ini.
“Seandainya gagal berbuat demikian, tindakan susulan akan diambil, kemungkinan slot bertanding di Piala Malaysia tahun ini tidak akan diberikan.”