Liga Super Malaysia Berita

Sarawak United masih belum bayar tunggakan gaji pemain selama 4 bulan

Pasukan Liga Super, Sarawak United dilaporkan masih belum membayar gaji pemain yang kini tertunggak selama 4 bulan.

Perkara ini disahkan oleh Persatuan Pemain Bolasepak Malaysia (PFAM).

“Setakat hari ini, PFAM telah menerima laporan daripada beberapa orang pemain Sarawak United mengenai isu tunggakan gaji pemain yang pada ketika ini sudah memasuki 4 bulan.

“Pada 14 Jun lalu, pihak PFAM telah mula mengeluarkan notis kepada Sarawak United untuk tuntutan tunggakan kepada pemain yang telah melakukan aduan.”

Katanya, notis susulan turut diberikan kepada Sarawak United pada 8 Julai lalu.

“Walaupun telah menerima respon balas daripada pihak kelab untuk melunaskan tunggakan gaji, namun sehingga kini, tunggakan tersebut masih belum dijelaskan sepenuhnya.

Lebih mendukacitakan, para pemain Sarawak United terpaksa berhadapan dengan situasi menerima notis untuk mengosongkan tempat penginapan mereka kerana bayaran sewa tidak dilunaskan oleh pihak kelab.

“Pihak pengurusan kelab sewajarnya memberikan fokus sepenuhnya dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelakkan hukuman yang berat dikenakan terhadap pasukan.

“PFAM memandang serius tentang isu tunggakan gaji pemain dan akan membawa perkara ini ke peringkat Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) dalam masa yang terdekat.”