Liga Super Malaysia Berita

MFL teliti cadangan ubah waktu sepak mula perlawanan Liga Malaysia ke waktu siang

CEO MFL, Stuart Ramalingam sedia meneliti cadangan untuk mengubah waktu perlawanan Liga Malaysia dari waktu malam ke waktu petang.

Ini setelah pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan suasana perlawanan liga akan bertambah menarik jika ia diadakan pada waktu siang.

Malah, katanya, ia memberi peluang buat penyokong untuk hadir beramai-ramai ke stadium terutama pada hujung minggu, serta mewujudkan waktu siaran langsung yang lebih pelbagai kepada penonton.

“MFL sentiasa melihat dan menerima sesuatu cadangan ke arah yang cukup positif,” kata Stuart kepada Harian Metro.

“Musim ini kita dapat melihat sepak mula di sebelah petang diadakan dalam aksi ACL di Johor Bahru sebelum ini, dan jelas kita dapat saksikan di mana tempoh waktu di negeri Johor boleh dikatakan amat sesuai untuk bermain di sebelah petang.

“Namun sekretariat MFL harus mengkaji perkara ini dari semua sudut dengan lebih teliti sebelum dicadangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah pada masa akan datang.”

Pada masa sama, Stuart menyifatkan perlawanan di sebelah siang juga sebenarnya dapat menaikkan nilai komersial Liga Malaysia.

“Jika dilihat daripada aspek komersial, kita akan melihat sepak mula di sebelah petang memberikan dinamik baharu kepada bola sepak tempatan.

“Penyokong bersama ahli keluarga dapat menikmati perlawanan bola sepak pada hujung minggu.”