Pasukan Perak membuat keputusan untuk menamatkan kontrak empat pemain import berkuatkuasa serta-merta.
Mereka adalah Samir Ahmed Ayass (Lebanon), Mountala Zoubairou Garba Daniel (Cameroon-Indonesia), Ghislain Guessan (Ivory Coast) dan Nana Poku (Ghana).
Ini setelah Perak tersingkir ke Liga Premier setelah menduduki tangga kedua tercorot Liga Super musim ini.
“Perak ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pemain tersebut yang telah bersama pasukan biarpun kelab terpaksa berhadapan dengan pelbagai konflik sebelum ini,” kata kenyataan rasmi Perak.
“Pihak kelab juga berharap khidmat para pemain tersebut akan terus ditagih kelab-kelab baharu mereka pada masa akan datang.
“Penamatan kontrak keempat-empat pemain tersebut juga dimuktamadkan setelah pihak pengurusan berbincang dengan barisan kejurulatihan dan mengambil kira pelbagai aspek yang perl diteliti terlebih dahulu sebelum keputusan tersebut diambil.”
Dengan penamatan empat pemain import, Perak akan meneruskan saingan TM Piala Malaysia 2021 dengan baki pemain import sedia ada iaitu Jad Ahmad Noureddine, Charles William Hew Machell dan Sergio Ezequiel Aguero.