Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah mengesahkan klausa 8.7 sememangnya dimasukkan dalam kontrak setiap kali ketika membuat rundingan dengan pemain.
Ini selepas Mohamadou Sumareh meninggalkan pasukan Pahang setelah mengaktifkan klausa 8.7 apabila tidak mendapat bayaran gaji lebih daripada sekali, sekaligus mengejutkan peminat yang mendakwa tidak pernah mengetahui mengenai kewujudan klausa tersebut.
“Klausa 8.7 sebenarnya standard biasa yang termaktub dalam kontrak antara pemain bola sepak dengan majikan yang secara tidak langsung memberi kelebihan sekiranya diaktifkan oleh pemain,” katanya kepada Sinar Harian.
Namun, Effendi berharap para pemain supaya mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan sekiranya berhasrat untuk meninggalkan pasukan.
“Pada saya, perbincangan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang isu yang timbul antara pemain dengan majikan masing-masing daripada dibiarkan masalah berpanjangan.
“Jika seseorang pemain itu sudah tidak berminat atau tawar hati untuk mewakili pasukannya sekarang adalah lebih baik berjumpa dengan majikan bagi menerangkan situasi sebenar.”
Effendi berpandangan, jika seseorang pemain meninggalkan pasukan dengan cara yang kurang disenangi oleh majikan, ia akan mewujudkan hubungan buruk dan akan menyukarkan pemain untuk menyertai bekas pasukannya pada musim depan.
“Kita kena ingat bahawa kitaran industri bola sepak negara kita tidak sebesar mana pun, jadi adalah lebih baik sebarang masalah melibatkan pemain dengan majikan diselesaikan di meja rundingan.”