Liga Super Malaysia Berita

Sanusi: Kedah perlu penaja baharu, tidak boleh harap dana kerajaan negeri

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengakui sudah bersedia untuk menerajui pasukan bolasepak negeri itu meskipun akan menghadapi masalah kewangan.

Beliau berkata, Kedah memerlukan perlu suntikan dana penajaan baharu selepas hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri pada musim ini.

“Isu penting dalam KFA sekarang ini adalah penajaan dan sumber kewangan,” katanya kepada BH Sukan.

“Sebagai presiden persatuan, individu tersebut perlu membawa masuk penajaan ke dalam persatuan demi mengukuhkan kedudukan pengurusan.

“Bukan sekadar menduduki jawatan kerana yang penting adalah keupayaan diperlukan bagi mengukuhkan keadaan kewangan dan kerajaan negeri sekarang ini pun berdepan kekangan berkenaan.”

Sanusi dilaporkan sebagai seorang pemimpin yang cukup meminati sukan termasuk sepak takraw, futsal, ragbi dan badminton.

“Kalau ada pencalonan melibatkan nama saya, saya akan sahut cabaran itu. Insya-Allah saya akan terima dan kalau tak ada pun tak apa,” kata Sanusi.

“Saya akan tengok balik kontrak ditandatangani sebelum ini dan yang mana membebankan dan tak boleh diteruskan kemungkinan akan dikaji semula.”

“Saya seperti seluruh rakyat Kedah yang lain mahu negeri Kedah terus maju dalam semua sukan dan InsyaAllah kita akan kekalkan momentum ‘Kedah Serata-Rata’ yang kita laungkan selama ini.”